13 terbunuh, lebih 30 cedera kemalangan bas di Pakistan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 30 yang lain cedera selepas sebuah bas penumpang terbalik di daerah Sukkur, di wilayah Sindh selatan Pakistan pada pagi Khamis, lapor Agensi Berita Xinhua.

Bas itu dalam perjalanan dari bandar Multan di timur wilayah Punjab menuju ke bandar pelabuhan selatan Karachi, di wilayah Sindh, kata Penguasa Polis di Sukkur, Irfan Samo kepada media.

Siasatan mengenai punca nahas sedang dilakukan. Menurut laporan media tempatan nahas dipercayai berpunca pemandu bas itu hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam.

Penumpang yang cedera telah dipindahkan ke sebuah hospital di daerah Rohri di wilayah itu.

Pegawai perubatan hospital, Pervaiz Akhtar berkata, enam mangsa maut di tempat kejadian sementara yang lain meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, enam mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Menurut laporan, penumpang yang terbunuh dan cedera berasal dari Multan dan dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di Karachi selepas menghabiskan cuti Aidilfitri di kampung masing-masing.

Kerajaan membenarkan operasi pengangkutan awam antara wilayah mulai Ahad, serta menarik balik sekatan perjalanan antara wilayah ketika cuti Aidilfitri walaupun berdepan ancaman Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: