Solat Jumaat dilema besar dihadapi rakyat ketika PKP

Ahmad Zahid (gambar kecil) mengemukakan cadangan berhubung pelaksanaan solat Jumaat semasa tempoh PKP. - Gambar hiasan dari FB Ahmad Zahid
Ahmad Zahid (gambar kecil) mengemukakan cadangan berhubung pelaksanaan solat Jumaat semasa tempoh PKP. - Gambar hiasan dari FB Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Urusan solat Jumaat antara dilema besar dihadapi rakyat Malaysia ketika ini, malah jauh lebih besar daripada dilema urusan membeli-belah di pasar raya semasa pandemik Covid-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehubungan itu berkata, beliau mahu mengetengahkan semula cadangan berhubung pelaksanaan solat Jumaat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah diutarakannya sebelum ini.

Menurutnya, pada 23 Januari lalu beliau pernah memberi beberapa cadangan bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di negara ini menunaikan solat Jumaat ketika PKP.

"Saya fikir cadangan itu kekal relevan dalam keadaan negara kini memasuki fasa ketiga PKP 3.0. Perkara pertama saya sentuh dalam cadangan itu ialah mengenai syarat sah solat Jumaat iaitu tempat mendirikan solat Jumaat hendaklah di suatu tempat yang seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.

"Justeru, saya telah mencadangkan solat Jumaat turut dibenarkan diadakan di dewan, padang dan surau yang banyak tersedia di sesebuah kawasan.

"Dengan demikian, lebih banyak alternatif buat penduduk dan golongan pekerja untuk menyertai solat Jumaat di kawasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahli Parlimen Bagan Datuk bagaimanapun berkata, ia perlu dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum, semasa dan selepas solat serta menetapkan had maksimum jemaah.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri menghantar atau melantik khatib dan imam untuk mengetuai solat Jumaat di lokasi terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Saya turut mencadangkan agar diwujudkan sistem online untuk orang ramai mendaftar tempat solat Jumaat.

"Ini supaya mereka dapat memilih lebih awal tempat untuk menunaikan solat Jumaat di banyak lokasi yang telah tersedia di kawasan mereka," kata beliau.

Dalam masa sama, katanya, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diminta membantu memastikan pematuhan SOP dan semakan pendaftaran masuk di setiap kawasan solat Jumaat.

"Mungkin ini antara norma baharu yang perlu kita lalui dalam menunaikan solat Jumaat pada waktu-waktu sukar begini," katanya.

Ahmad Zahid berkata, menjadi harapan beliau agar cadangan berkenaan dapat diberi perhatian sewajarnya supaya tidak lagi berlaku insiden tidak diingini seperti bangunan masjid diconteng atau pagar masjid ditendang.