Gagal patuhi SOP PKP, tapak pembinaan diarah tutup

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Sebuah tapak pembinaan perumahan di Mukim 6, Bertam Perdana di sini, diarah tutup selama seminggu bermula Khamis selepas pemajunya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, notis penutupan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi operasi bersepadu membabitkan polis, KKM, Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Tenaga Kerja dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di tapak pembinaan itu bermula 10 pagi.

Menurut beliau, pemeriksaan di tapak pembinaan itu dilakukan susulan aduan dan risikan yang dijalankan berikutan Mukim 6 ketika ini merupakan Zon Merah dengan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi.

“Dalam pemeriksaan itu didapati pekerja yang kebanyakannya warga asing tidak mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup muka, tidak memeriksa suhu dan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

“Ramai antara pekerja warga asing itu juga tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan permit kerja malah ada dalam kalangan mereka gagal menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bekerja di tapak pembinaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi itu.

Noorzainy berkata, penutupan itu bagi membolehkan pemaju tapak pembinaan terbabit menambah baik serta memastikan semua pekerja mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 di tapak pembinaan.

Selain itu katanya, polis turut mengeluarkan dua kompaun berjumlah keseluruhan RM35,000 kepada pemaju terbabit iaitu RM25,000 bagi kesalahan pekerja tidak membuat ujian saringan Covid-19 manakala RM10,000 kerana pekerja tidak memakai pelitup muka dan tidak memeriksa suhu.

Sementara itu, Pengarah CIDB Pulau Pinang Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis kepada wakil kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat berikutan pekerja berkenaan mempunyai masalah berkaitan dokumentasi.

Artikel Berkaitan:

Katanya pihak kontraktor juga didapati gagal mengemukakan dokumen serta permit berkaitan pembinaan rumah kongsi di dalam tapak pembinaan terbabit. - Bernama