Menara jam, Pavillion dilimpahi cahaya bendera Palestin

Pemandangan indah Bangunan Pavillion di Kuala Kangsar pada waktu malam yang dilimpahan lampu merah hijau sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
Pemandangan indah Bangunan Pavillion di Kuala Kangsar pada waktu malam yang dilimpahan lampu merah hijau sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Menara Jam Besar dan bangunan Pavillion di Kuala Kangsar dilimpahi cahaya merah dan hijau melambangkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara itu yang ditindas serta dizalimi rejim Zionis.

Usaha berkenaan digerakkan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sebagai inisiatif menzahirkan rasa kebersamaan terhadap perjuangan penduduk Palestin.

Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad berkata, selain pemasangan lampu, bendera negara tersebut bersama bendera Malaysia dan Perak turut dikibarkan di beberapa lokasi tumpuan di seluruh daerah termasuk di Wisma MPKK sendiri.

"Lokasi tumpuan umum menjadi pilihan untuk mengibarkan bendera ini agar ia dapat dilihat oleh orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.

"Diharapkan apabila mereka melihat bendera ini, mereka akan memanjatkan doa untuk keselamatan, kesejahteraan dan keamanan Palestin," katanya.

Menurut beliau, seramai 10 anggota kerja MPKK terlibat bagi kerja-kerja pemasangan bendera dan lampu tersebut.

"Umum mengetahui akan kekejaman rejim Zionis yang telah menyerang Masjid Al-Aqsa dan penduduk Palestin sejak penghujung Ramadan tanpa belas kasihan.

"Jadi, sebagai sokongan kepada rakyat Palestin, kita tujukkan rasa kebersamaan, memanjatkan doa dan menyalurkan bantuan kewangan jika mampu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, MPKK pernah menzahirkan solidariti buat petugas barisan hadapan negara yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 dengan memasang lampu bewarna biru di Wisma MPKK.