Kerajaan digesa kaji semula strategi vaksin

Kenyataan Media Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan
Kenyataan Media Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk mengkaji semula strategi vaksin semasa bagi mempercepat kadar vaksinasi.

Dalam kenyataan bersama itu, jawatankuasa terbabit mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan seperti mempercepatkan kelulusan vaksin Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), mengembangkan variasi vaksin serta membenarkan kerajaan negeri dan hospital swasta memberikan vaksin kepada pelanggan yang membayar.

“Langkah ini akan menarik kekuatan pasaran untuk mengisi jurang-jurang yang sedia ada dalam industri kesihatan negara.

“Kerajaan Persekutuan kemudiannya akan dapat menggunakan sumber yang terhad untuk menumpukan usaha untuk memberi vaksin penduduk yang lain,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Kenyataan bersama Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 itu terdiri daripada enam ahli Parlimen dan tiga Exco Kesihatan.

Antaranya termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Bon Chye; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii; Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming.

Selain itu, jawatankuasa itu turut melibatkan Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin serta Exco Kesihatan Negeri Sembilan, Veerapan Supramaniam.

Menurut kenyataan bersama itu, sikap 'tunggu dan lihat' kerajaan menyebabkan kegagalan mengawal lonjakan semasa dan seterusnya telah mengorbankan banyak nyawa.

Artikel Berkaitan:

“Pelancaran vaksinasi semasa adalah perlahan dan tidak berkesan, ekorannya gagal mengekang lonjakan rekod jangkitan Covid-19 di negara kita yang baru-baru ini mencapai 6,075 kes baru.

“Kerajaan haruslah proaktif dan tidak mengulangi kesalahan sebelumnya dalam proses perolehan vaksin. Malaysia lewat dalam proses perolehan berbanding dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia,” kata mereka.

Pada Rabu, Malaysia sekali lagi merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan 6,075 kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadi yang tertinggi sejak pandemik itu berlaku Mac tahun lalu.