Guan Eng sedia mohon maaf jika kenyataan Khairy benar

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersedia memohon maaf sekiranya benar kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa tawaran sumbangan vaksin Covid-19 Sinovac kepada kerajaan negeri Pulau Pinang itu adalah 'scam' atau penipuan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau sedia berbuat demikian supaya dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadap usaha mendapatkan vaksin untuk rakyat.

"Sekiranya apa yang dikatakan oleh Khairy itu benar, saya bersedia meminta maaf agar kita dapat memberi perhatian kepada kepentingan mendapatkan vaksin untuk rakyat melalui usaha keseluruhan kerajaan dan negara.

"Sama ada syarikat yang mahu menyumbangkan vaksin itu wujud atau tidak adalah perkara kedua. Kita tidak boleh mengalihkan perhatian terhadap dua isu asas iaitu kerajaan Persekutuan perlu memberikan kelulusan segera kepada semua kerajaan negeri untuk membeli vaksin atau mendapatkan sumbangan vaksin.

"Tidak salah untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin untuk rakyat demi melindungi mereka dengan segala cara yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sehubungan itu berkata, kerajaan Persekutuan perlu memberikan kelulusan segera kepada semua kerajaan negeri untuk membeli atau mendapatkan sumbangan vaksin demi kepentingan rakyat.

"Rakyat terdesak untuk mendapatkan vaksin Covid-19 adalah isu utama. Dalam menghadapi peningkatan kes, orang ramai mahu mendapatkan vaksin untuk melindungi mereka daripada Covid-19 dan varian yang ganas.

"Sebilangan sektor swasta sangat terdesak sehingga mereka bersedia mengumpulkan sumber untuk membeli vaksin di luar negara, tetapi diberitahu bahawa pembelian tersebut perlu diluluskan oleh kerajaan dan diuruskan melalui perantara kerajaan. Ia disahkan oleh Khairy sendiri," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Khairy sebelum ini mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Guan Eng supaya tidak mempolitikkan isu vaksin.

Ia bagi mengulas mengenai kenyataan Kon Yeow yang memohon kerajaan Persekutuan meluluskan sumbangan sebanyak dua juta dos vaksin Covid-19 Sinovac dari sebuah syarikat swasta.

Khairy bagaimanapun berkata, selepas melakukan semakan dengan syarikat Sinovac Biotech Ltd, tawaran sumbangan vaksin Covid-19 Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang itu dipercayai satu 'scam'.