Perkhidmatan kesihatan lumpuh jika kerajaan masih guna SOP semasa

Norshida Ibrahim
Norshida Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan kesihatan akan lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara jika kerajaan masih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 dilihat tidak berkesan bagi mengurangkan jangkitan Covid-19, sebaliknya ia semakin meningkat setiap hari.

“Trend peningkatan kes disebabkan terdapat banyak pergerakan orang ramai yang tidak dapat dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.

“Lebih membimbangkan, ahli keluarga tidak sedar sudah dijangkiti kerana mereka tiada gejala. Maknanya kita semua terdedah sesama kita kepada virus maut ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Justeru, Norshida menggesa kerajaan agar melaksanakan PKP secara penuh atau ‘total lockdown’ di seluruh negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 hari.

Menurutnya, gesaan itu dibuat memandangkan situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berhadapan dengan cabaran yang terlalu dahsyat untuk merawat pesakit Covid-19 dan pada masa sama perlu mengendalikan lain-lain pesakit.

“ Tempoh 21 hari itu adalah tempoh yang paling minimum bagi membolehkan langkah paling drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.

“Keputusan dan langkah yang tegas mesti dibuat, kalau dah pakar kesihatan kata buat PKP penuh, elok segerakan buat PKP.

Artikel Berkaitan:

“Ini virus maut, tak kena pada diri dan keluarga sendiri mudah kita bercakap. Dah kena baru panik. Terlambat untuk kita kerana kita perlu utamakan nyawa dulu, baru ekonomi boleh hidup,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu memberi bantuan sama ada dari segi keperluan atau kewangan kepada masyarakat yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP berkenaan.

“Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi.

“Semua agensi kerajaan juga perlu turun padang memastikan keperluan rakyat seperti makanan tanpa ada seorang pun yang tertinggal.

“Tidak ketinggalan, kerajaan perlu menyegerakan bantuan untuk peniaga kecil yang terjejas akibat Covid-19,” jelasnya.

Pada Rabu, Malaysia sekali lagi merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan 6,075 kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadi yang tertinggi sejak pandemik itu berlaku Mac tahun lalu.