Simpan mercun, bunga api di rumah rakan

Sazali (tengah) menunjukkan mercun dan bungai api yang dirampas ketika sidang akhbar di Johor Bahru, pada Khamis.
Sazali (tengah) menunjukkan mercun dan bungai api yang dirampas ketika sidang akhbar di Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang wanita menjadikan rumah rakannya sebagai tempat menyimpan mercun dan bunga api membawa padah apabila kediaman itu diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pada 5 Mei lalu.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 1.45 pagi di rumah berkenaan yang terletak di sebuah kawasan kampung di Segamat.

Beliau berkata, hasil serbuan membawa kepada penemuan sebanyak 117 kotak mercun dan bunga api yang disembunyikan di dalam dua buah rumah terbabit.

"Rumah berkenaan dimiliki seorang lelaki yang merupakan rakan kepada wanita berkenaan. Kedua-duanya berusia 31 dan 32 tahun.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, wanita tempatan itu mengakui mercun dan terbabit adalah miliknya. Kedua-duanya kini ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan mercun dan bunga api yang dirampas termasuk cukai dianggarkan bernilai RM103,372.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan memiliki dan menyimpan barang larangan tanpa permit yang sah," ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang Ops Letup pada 11 April hingga 9 Mei lalu, pihaknya telah merampas sebanyak 12.3 tan mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM264,898.

Artikel Berkaitan: