Budak lima tahun ditikam bapa tiri OKU

Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar
Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera di perut dipercayai ditikam bapa tirinya dengan pisau dalam kejadian di Kangkar Pulai di sini.

Kejadian itu hanya terbongkar apabila doktor yang merawatnya di salah sebuah hospital di Iskandar Puteri, curiga dengan kecederaan yang dialami.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kanak-kanak berkenaan sebelum itu dibawa ibunya yang berusia 37 tahun untuk mendapatkan rawatan pada 15 Mei lalu kira-kira jam 9 pagi.

"Doktor yang merawatnya mendapati mangsa mengalami kecederaan seperti tusukan benda tajam di bahagian perut, sebelah kiri.

"Hasil temubual dengan kanak-kanak tersebut sebelum pembedahan dijalankan, mangsa menyatakan dia telah dicederakan oleh pakciknya sendiri (bapa tiri).

"Hasil siasatan awal polis, suspek berusia 38 tahun adalah bapa tiri mangsa dan merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, suspek telah mendapat rawatan sakit mental di Hospital Sultanah Aminah di sini sejak tahun 2014 dan masih mengambil ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital.

"Suspek kemudiannya telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi pemeriksaan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas sebilah pisau panjang yang berukuran 29.5 sentimeter berserta hulu yang berada di rumah suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan dan masih berada dalam wad di hospital untuk rawatan lanjut.