Pesawat khas terbangkan Harimau Malaya ke UAE

- Foto Football Association of Malaysia
- Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya hari ini berlepas ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerusi penerbangan sewa khas Malaysia Airlines dalam misi menghadapi baki tiga perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia Airlines merupakan rakan penerbangan rasmi skuad Harimau Malaya menerusi kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Seramai 45 pemain dan pegawai pasukan termasuk Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 pagi menaiki pesawat MH8436 dan dijadual tiba di Dubai 12.20 tengah hari waktu tempatan.

"Komitmen serta sokongan Malaysia Airlines terhadap skuad kebangsaan sememangnya tidak dapat dipersoalkan lebih-lebih lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak ini sudah terjalin sejak 2018," kata Hamidin dalam kenyataan FAM pada Khamis.

Sementara itu, Malaysia Airlines berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah dalam menyokong pasukan negara membawa nama Malaysia ke pentas dunia, selain memaklumkan ia juga memberi peluang kepada syarikat penerbangan nasional itu terbang ke luar daripada rangkaian biasa.

"Malaysia Airlines komited menawarkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi dalam setiap langkah di sepanjang penerbangan untuk pastikan skuad Harimau Malaya terbang dengan yakin dan selesa untuk tampil di perlawanan, terutama semasa musim pandemik Covid-19," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Izham Ismail dalam kenyataan sama.

Malaysia Airlines akan melakukan empat penerbangan sewa khas dari Kuala Lumpur ke Dubai, Dubai ke Manama, Bahrain, Manama ke Dubai dan Dubai ke Kuala Lumpur bagi menerbangkan pasukan negara menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa seterusnya memulakan kempen kelayakan.

Lebih mengujakan, pasukan negara dijadual pulang ke tanah air dengan pesawat A330-300 berlatarbelakangkan liveri Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menentang Kuwait di Dubai dan Bahrain di Manama, masing-masing pada 23 dan 28 Mei sebelum meneruskan baki saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.