Zahid cadang penduduk di sempadan dua negeri diberi kelonggaran

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan kerajaan memberikan pelepasan dan sedikit kelonggaran kepada penduduk yang tinggal di sempadan negeri.

Ahmad Zahid mencadangkan perkara itu susulan menerima keluhan daripada penduduk yang tinggal bersempadanan Sepang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan berhubung kesukaran mereka.

“Penduduk beritahu mereka tidak boleh ke lokasi berdekatan disebabkan dua kawasan terbabit berada di dua negeri berbeza sedangkan jaraknya tidak begitu jauh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, penduduk yang tinggal di Sepang secara kebiasaan membeli barangan dapur di pasar raya di Bandar Baru Nilai memandangkan jarak antara rumah ke premis itu antara empat hingga enam kilometer sahaja.

Namun katanya, perbezaan antara dua negeri menyebabkan perjalanan mereka terhalang sekali gus menyukarkan urusan seharian.

“Oleh itu saya berharap kerajaan memikirkan semula masalah ini dengan mereka yang tinggal di sempadan diberi pelepasan asalkan tidak melebihi jarak 10 kilometer,” kata beliau lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga tertarik dengan laporan media baru-baru ini berhubung dua beradik kembar yang tidak dapat meraikan hari raya bersama memandangkan rumah mereka berada di negeri berbeza.

“Seorang menetap di Sungai Merab, Sepang. Seorang lagi tinggal di Nilai yang mana masa perjalanan ke kawasan sempadan hanya kira-kira dua minit.

Artikel Berkaitan:

"Pada perkiraan saya ia begitu dekat namun mereka tidak dapat melakukan rentasan kerana Nilai dan Sepang bukan sahaja dua daerah berbeza tetapi negeri berlainan. Apa yang membuatkan sedikit terkilan adalah jarak perjalanan satu sama lain tidaklah jauh. Adik beradik itu terpaksa akur dengan kehendak kerajaan dan sekadar bertukar juadah Aidilfitri di sekatan jalan raya (SJR) sempadan daerah Sepang dan Nilai.

"Apa-apa pun syukur kerana anggota polis bertimbang rasa dan membenarkan mereka menukar juadah," kata Ahmad Zahid.