Jumlah kes harian positif Covid-19 hampiri angka 7,000

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jangkitan Covid-19 terus menunjukkan trend membimbangkan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan angka tertinggi baharu iaitu 6,806 kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 492,302 kes.

"Jumlah kes aktif pula 50,171 kes," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, sebanyak 6,804 penularan dalam negara dikesan membabitkan 6,122 rakyat tempatan dan 682 warga asing.

"Terdapat juga dua kes import yang melibatkan rakyat tempatan," katanya.

Beliau berkata, KKM merekodkan 3,916 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

"Jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 440,032 iaitu bersamaan 89.4 peratus," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal menyumbang angka tertinggi dengan 2,277 kes.

Artikel Berkaitan:

"Ia diikuti Kuala Lumpur (655), Johor (615), Sarawak (608), Kelantan (426), Kedah (417) dan Pulai Pinang (362)," katanya.

Negeri Sembilan melaporkan 291 kes, Perak (248), Sabah (245), Terengganu (233) dan Pahang (157).

"Putrajaya (35), Labuan (17) dan Perlis (lapan)," katanya.

Menurutnya, terdapat 24 kluster Covid-19 dikenalpasti yang merangkumi sembilan kluster tempat kerja dan enam kluster keagamaan.

"Turut dikenalpasti adalah tujuh kluster komuniti dan masing-masing satu kluster pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia serta kluster golongan berisiko tinggi," katanya.

Orang ramai diingatkan terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan diri dijangkiti Covid-19.