X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid, rumah ibadat di Negeri Sembilan ditutup untuk orang awam

Aminuddin menyampaikan sumbangan kepada tabung Bantuan Peduli Palestin di Wisma Negeri pada Khamis.
A
A

SEREMBAN - Semua masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan tidak dibuka untuk orang awam bermula dari 21 Mei hingga 7 Jun berikutan penularan Covid-19.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, arahan itu dibuat di atas perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk membendung penularan Covid-19.

"Setelah mendapat perkenan, kita mengambil keputusan untuk menutup semua masjid dan surau termasuk rumah ibadat bukan Islam.

"Kita telah bersetuju mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu iaitu membenarkan seramai 12 orang sahaja terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah untuk solat Jumaat serta solat fardu lima waktu di masjid serta surau jumaat.

"Tiga orang sahaja dibenarkan untuk solat fardu lima waktu di surau terdiri daripada imam, bilal dan siak. Kesemua mereka yang dibenarkan solat di masjid dan surau perlu mengisi borang kehadiran disediakan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas program Pelancaran Bantuan Negeri Sembilan Peduli Palestine di sini, pada Khamis.

Tambahnya, ahli kariah yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid, wajib menggantikannya dengan solat Zohor di rumah masing- masing.

Sementara itu, kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Global Peace Malaysia telah melancarkan 'Bantuan Peduli Palestin' yang menyasarkan kutipan lebih RM1 juta.

Katanya, sebagai tanda sokongan, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan (Perbadanan) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menyumbangkan masing-masing sebanyak RM100,000 dengan jumlah keseluruhan RM300,000 kepada Palestin.

"Sebuah platform turut disediakan oleh Global Peace Malaysia khusus untuk rakyat Negeri Sembilan yang ingin menyumbang secara online melalui laman web http://www.pedulipalestin.com/negerisembilan.

"Kutipan derma melalui jabatan dan agensi kerajaan, masjid dan surau juga akan digerakkan bagi memastikan setiap rakyat di Negeri Sembilan berpeluang turut serta membantu rakyat Palestin," katanya.

Tambah beliau, sumbangan boleh disalurkan melalui Akaun CIMB 8004433398 di atas nama Bendahari Negeri, Negeri dengan meletakkan rujukan ‘Palestin’.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!