MAIS saran umat Islam solat hajat, Qunut Nazilah doakan Palestin

Umat Islam di negara ini khususnya di Selangor digalakkan menunaikan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan perlindungan kepada rakyat Palestin.
Gambar kecil: Abdul Aziz Mohd Yusof
Umat Islam di negara ini khususnya di Selangor digalakkan menunaikan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan perlindungan kepada rakyat Palestin. Gambar kecil: Abdul Aziz Mohd Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam di negara ini khususnya di Selangor digalakkan menunaikan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan perlindungan kepada rakyat Palestin.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, selain solat hajat, umat Islam juga digalakkan membaca Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang sedang menghadapi serangan dan kekejaman tentera Israel.

Menurut beliau, MAIS menzahirkan harapan supaya umat Islam terus menyokong agenda pembebasan negara Islam Palestin daripada kekejaman dan pencerobohan tentera Zionis.

"MAIS menyifatkan serangan bermula sejak penghujung Ramadan tahun ini dan masih berterusan sehingga kini adalah tindakan zalim dan mencabul undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Abdul Aziz memberitahu, MAIS akan terus menzahirkan sokongan terhadap kerajaan Malaysia yang akan bersama Indonesia dan Brunei bagi mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Palestin.

"MAIS menyokong usaha ini dalam mempertahankan Masjidil al-Aqsa sebagai tempat suci umat Islam dan kiblat pertama umat Islam," katanya.

Menurut beliau, MAIS bersama rakan strategik iaitu Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berdaftar di bawah MAIS telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program 'outreach' serta sumbangan dana kepada umat Islam di dalam dan luar negara sejak tahun 2012.

"Ini termasuklah program pungutan dana dan program-program kerohanian seperti solat hajat, berdoa, bermunajat serta program-program kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang isu Palestin melalui wacana, forum dan sebagainya," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya turut mengiktiraf pengalaman beberapa PIBK yang lebih awal melaksanakan program dan misi bantuan kepada masyarakat Islam di luar negara yang ditimpa musibah termasuk di Palestin.

"Antara 96 buah PIBK MAIS yang berdaftar di bawah MAIS serta aktif memberikan sokongan kepada umat Islam di Palestin ialah Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Selangor, Islamic Relief Malaysia, MCG (Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia.

"Selain itu Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Humanitarian Care Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Aman Palestin Berhad, Muslim Care Malaysia Society dan Haluan.

"MAIS juga mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan PIBK MAIS serta orang ramai yang sentiasa menyokong dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin serta segala usaha ini amatlah bermakna bagi rakyat di negara terbabit," katanya.