Bendera Israel #Israelkoyak atas jalan di Selayang Baru

Azizan menunjukkan contengan bendera Israel di atas jalan Selayang Baru berhampiran Surau Hidayatul Mustaqim.
Azizan menunjukkan contengan bendera Israel di atas jalan Selayang Baru berhampiran Surau Hidayatul Mustaqim.
A
A
A

SELAYANG - Contengan bendera Israel bersama #Israelkoyak dilihat berada di atas jalan di Selayang Baru berhampiran Surau Hidayatul Mustaqim, di sini sejak Selasa lalu.

Difahamkan, bendera yang dilukis menggunakan penyembur cat itu dilakukan sekumpulan anak muda seperti dikongsikan seorang lelaki menerusi video di aplikasi TikTok.

Tindakan itu sebagai tanda solidariti menyokong rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan tentera Israel yang membedil Gaza hingga mengorbankan ratusan nyawa.

Sementara itu, Pengerusi Hidayatul Mustaqim, Azizan Md Ali ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, pihaknya tidak terlibat dengan tindakan protes di atas jalan itu.

Menurutnya, tindakan itu dipercayai dilakukan oleh orang luar dan bukannya dalam kalangan penduduk Selayang Baru.

"Mereka tidak ada meminta keizinan daripada pihak surau memandangkan jalan tersebut sudah berada di luar pekarangan surau jadi kita tidak boleh nak menghalang perkara ini.

"Berdasarkan video yang tular, individu yang melakukan protes tersebut tidak dikenali. Setakat ini pihak polis tiada mengambil keterangan berkenaan isu ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menyokong perjuangan rakyat Palestin tambahan disuarakan anak muda yang bersemangat namun berharap bantahan yang dilakukan perlulah melalui saluran yang betul.

Artikel Berkaitan:

"Untuk protes tanda solidariti itu saya menyokong cuma gunalah saluran yang betul seperti memasang gegantung atau memasang bendera.

"Tindakan menconteng jalan sebagai tanda protes ini tidak sesuai, ia sama seperti vandalisme dan dilihat kurang sopan serta boleh menjejaskan kesucian institusi agama," katanya.

Setakat Khamis, contengan tersebut dilihat masih berada di lokasi terbabit.