10 masjid bergabung kumpul dana bantu rakyat Palestin

Program Infaq Tabung Palestin Masjid Felda Zon Bera bagi mengumpul kutipan dana untuk membantu rakyat Palestin yang kini menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. (Muhammad Nasrullah Shahruwal)
Program Infaq Tabung Palestin Masjid Felda Zon Bera bagi mengumpul kutipan dana untuk membantu rakyat Palestin yang kini menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. (Muhammad Nasrullah Shahruwal)
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 10 masjid di daerah Bera bergabung usaha dalam melancarkan Program Infaq Tabung Palestin Masjid Felda Zon Bera bagi mengumpul kutipan dana untuk membantu rakyat Palestin yang kini menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Usaha itu merupakan inisiatif imam masjid berkenaan dan turut melibatkan kalangan belia berusia antara 21 hingga 38 tahun.

Imam Masjid Al Falah Felda Sebertak, Muhammad Nasrullah Shahruwal berkata, mereka terpanggil untuk bersama-sama membantu saudara seagama di sana selepas tersentuh melihat penderitaan dialami rakyat Palestin sehingga ratusan nyawa telah terkorban.

Menurutnya, lebih menyentuh perasaan bila melihat serangan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di kawasan Masjid Al-Aqsa itu dilakukan pada bulan Ramadan.

"Walaupun berdepan suasana getir, mereka terus berpuasa, berterawih dan pada masa sama mempertahankan masjid suci itu daripada pencerobohan tentera Zionis.

"Ramai yang gugur syahid, banyak kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa dan tidak kurang yang kehilangan kediaman serta harta benda dalam sekelip mata," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Muhammad Nasrullah berkata, atas dasar membantu saudara seagama yang tertindas, mereka terpanggil untuk melancarkan tabung itu sejak 15 Mei lalu dengan sasaran kutipan RM60,000.

"Allhamdulillah, sambutan dalam kalangan orang ramai dan jemaah masjid amat meggalakkan di mana jumlah kutipan ketika ini sudah melebihi RM40,000.

Artikel Berkaitan:

"Saya jangkakan jumlah kutipan mampu mencapai sasaran menjelang 3 Jun depan di mana semua kutipan itu akan diserahkan kepada pihak Aman Palestin pada tarikh tersebut," katanya.

Tambah beliau, kaedah kutipan dilakukan melalui penyediaan tabung di masjid yang mengambil bahagian dan sebagai tuan rumah program ini, Masjid Al Falah Felda Sebertak turut menyediakan tabung untuk diletakkan di kedai dan sebagainya.

"Kami juga ada menerima sumbangan peribadi darpadai individu tertentu dalam bentuk cek dan pemindahan wang dalam talian dengan sumbang mencecah RM1,000 untuk tabung ini," katanya.

INFO

Masjid yang mengambil bahagian dalam Program Infaq Tabung Palestin Masjid Felda Zon Bera Bersama Aman Palestin.

1. Masjid Al Falah Felda Sebertak

2. Masjid Jamaatul Mukminin Felda Kumai

3. Masjid Ubudiah Felda Tementi

4. Masjid Nurul Iman Tembangau 06/08

5. Masjid An-Najah Felda Rentam

6. Masjid At-Taqwa Felda Triang 3

7. Masjid Nur Jihad BS3

8. Masjid Felda Bukit Kepayang

9. Masjid Felda Triang 1

10. Masjid Ar-Rahmah Felda Mayam

11. Masjid Ubudiah Felda Purun