PKP penuh beri kesan teruk kepada industri komponen automotif

PKP secara penuh akan memberi kesan teruk kepada rantaian bekalan automotif khususnya industri pembuatan komponen. - Gambar hiasan
PKP secara penuh akan memberi kesan teruk kepada rantaian bekalan automotif khususnya industri pembuatan komponen. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh akan memberi kesan teruk kepada rantaian bekalan automotif khususnya industri pembuatan komponen.

Presiden Pengilang Bahagian Komponen Automotif Malaysia (MACPMA), Peter Lim berkata, industri tersebut bergelut dengan kenaikan kos pengeluaran, output pengeluaran, kekurangan tenaga mahir dan pengurangan margin yang akan memberi tamparan teruk kepada industri.

Tambah beliau, kira-kira 70 peratus pekerja adalah daripada Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana serta lebih daripada 30 peratus adalah pengeksport.

“Pengeksport kami perlu meneruskan operasi kerana kesan daripada penutupan operasi akan merosakkan perniagaan dan juga ekonomi.

“Banyak pengeluar alat ganti automotif bergantung kepada perniagaan eksport dan Malaysia membekalkan komponen-komponen automotif ke seluruh dunia serta merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan automotif global,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Peter berkata, barang alat ganti dari Malaysia dieksport kepada lebih 60 negara di dunia dan mempunyai lebih 250,000 pekerja terdiri daripada penduduk tempatan.

Tambah beliau, penutupan selama empat minggu seperti PKP 1.0 telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM1.15 bilion daripada penjualan eksport yang menyebabkan banyak ahli terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama, MACPMA komited melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk menjaga pekerja supaya kekal selamat dan sihat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga mendesak kerajaan mempercepatkan program vaksinasi untuk sektor ekonomi agar dapat mencapai imunisasi berkelompok dengan lebih cepat,” katanya.