Penjenayah larikan jam tangan bernilai hampir RM20,000 dicekup

Antara jam tangan dipercayai hasil jenayah pecah masuk kedai yang dirampas polis susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Klang, Selangor pada Rabu. (Gambar kecil: Shamsul Amar Ramli)
Antara jam tangan dipercayai hasil jenayah pecah masuk kedai yang dirampas polis susulan tertangkapnya empat suspek di sekitar Klang, Selangor pada Rabu. (Gambar kecil: Shamsul Amar Ramli)
A
A
A

KLANG - Empat penjenayah termasuk seorang wanita ditahan pada Rabu selepas disyaki terlibat dalam kes pecah kedai dan melarikan pelbagai jam tangan berjenama bernilai hampir RM20,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 38 tahun itu ditangkap di sekitar daerah ini oleh sepasukan polis daripada D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, sebanyak 41 jam tangan pelbagai jenama turut dirampas.

"Soal siasat terhadap kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes yang dilakukan mereka di sebuah premis di Taman Bayu Perdana, Klang pada 29 April lalu.

"Semakan mendapati dua suspek lelaki masing-masing memiliki rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tiga daripada suspek termasuk seorang wanita telah direman selama tiga hari manakala seorang lagi suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

29 April lalu, seorang wanita yang juga peniaga jam tangan berusia 60 tahun menyedari kedainya telah dipecah masuk kira-kira jam 10.30 pagi dan hampir kesemua jam tangan di paparan kaca telah hilang hingga menyebabkannya kerugian sebanyak RM19,950.

Artikel Berkaitan: