X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Perang laksa Johor dan laksa utara

A
A

TIDAK semena-mena mencurah-curah pelbagai komen dan gambar-gambar mengenai laksa di media sosial sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan warganet.

Ada komen menyindir, ada parodi dan tidak kurang juga video cara-cara menyediakan laksa.

Apabila Merak Jalanan membaca semua komen-komen itu, barulah Merak Jalanan faham apa sebenarnya berlaku.

Perbalahan berlaku disebabkan terdapat komen daripada seorang warganet yang mengatakan resipi dikongsi tidak mengikut standard resipi asli orang Johor.

Antara petikan komen individu itu ialah: “Kalau tiada ikan parang, guna ikan tenggiri. Jangan jatuhkan standard kami orang Johor dengan menggunakan ikan kembung atau ikan selayang. Itu standard orang utara atau pantai timur.”Sungguh berapi komen individu tersebut. Ada juga yang menegur pemilik akaun tersebut supaya tidak menggunakan isu kenegerian dan lebih sopan dalam mengeluarkan komen-komen di laman sosial.

Ramai juga yang bertanya mengapa laksa Johor dipanggil laksa walaupun mi yang digunakan adalah spageti. Berdasarkan carian Merak Jalanan mendapati ia bermula apabila Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar (1886-1895) dalam lawatannya ke Eropah telah disajikan dengan menu spageti.

Perang laksa tidak berhenti di situ, apabila ada pula warganet dari negeri lain turut berkongsi gambar-gambar dan video mengenai kehebatan laksa negeri masing-masing seperti laksa Sarawak, laksam Kelantan dan banyak lagi.

Perbalahan turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut memuat naik status komen isu laksa.

Maka, warganet terus membawang isu laksa. Buat apa nak gaduh sebab semua laksa sedap!


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!