Kuih peneram sepi, kuih 'lima seringgit' popular di musim Covid-19

Nor Azizah, menunjukkan dua produk yang dikeluarkan oleh syarikatnya Nab Food Industries Sdn Bhd, di premisnya di No.5, Jalan Raja Syed Thauphy 2, Pusat Bandar Baru, Bagan Serai, pada Rabu. - Foto Bernama
Nor Azizah, menunjukkan dua produk yang dikeluarkan oleh syarikatnya Nab Food Industries Sdn Bhd, di premisnya di No.5, Jalan Raja Syed Thauphy 2, Pusat Bandar Baru, Bagan Serai, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN SERAI - Kuih peneram sepi, manakala kuih ‘lima seringgit’ pula menjadi popular sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Demikian dua kisah berbeza yang tertulis dalam rezeki dua wanita yang menjalankan perniagaan kuih tradisional dan kuih jualan harian, masing-masing di Kerian dan Taiping dalam usaha mendapatkan rezeki yang halal untuk kemandirian diri dan keluarga.

Pengusaha kuih tradisional bahulu dan kuih peneram yang terkenal di daerah Kerian, Nab Food Industries Sdn Bhd, turut terkesan apabila dua produk popular syarikat itu mengalami kemerosotan tempahan mencecah 50 peratus sekali gus terpaksa mengurangkan bekalan demi mengelakkan kerugian.

Pengurusnya Nor Azizah Amri, 49, berkata, antara faktor penurunan jualannya adalah tidak boleh rentas negeri dan tiga trak makanannya juga tersadai kerana kekurangan program keusahawanan berunsurkan perniagaan.

“Saya takut untuk keluarkan lebih banyak produk bahulu dan kuih peneram kerana produk itu kini tidak boleh diniagakan berbanding sambutan sebelum ini, amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Tidak menyerah kalah, Nor Azizah yang mengusahakan bahulu dan kuih peneram sejak 2010 secara kecil-kecilan di pasar pagi dan malam, berkata, PKP dan Covid-19 mengajarnya untuk menukar corak perniagaannya secara dalam talian bagi memasarkan produknya untuk mengelak terus dilanda kerugian.

Lain pula kisah seorang warga emas, Chek Nah Husain, 71, yang tidak menang tangan kerana kuih-muih ‘lima seringgit’ yang dijualnya di hadapan bangunan kedai Jalan Kampung Pinang, Taiping mendapat sambutan di luar jangkaannya, sejak kebelakangan ini.

Jelasnya, sambutan menggalakkan hingga jualannya menjadi tular merupakan rezeki pada bulan Ramadan lalu serta Syawal dan berharap pelanggannya berpuas hati dengan aneka kuih-muih dijualnya seperti kuih lapis, karipap, seri muka hijau dan lepat liat.

Artikel Berkaitan:

“Ini semua kuasa ALLAH. Saya pun tidak menyangka ia tular. Hari-hari memang sentiasa laris macam pisang goreng. Ada beberapa lagi kuih-muih yang dijual dibuat oleh orang lain dan diletakkan di sini. Kita kongsi rezeki. Kadangkala, saya hanya mendapat komisen RM2 bagi penjualan RM10," katanya yang menjalani pembedahan kanser payu dara awal tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Kampit Rezeki Perak, Qolbin Salim Sulaiman berkata, kisah Chek Nah itu mendapat perhatian pihaknya yang telah menyampaikan sumbangan berupa barangan bahan keperluan untuk membuat kuih-muih dan wang tunai untuk membantu warga emas tersebut.

Menurutnya, orang ramai yang ingin membantu, boleh terus menghulurkan bantuan kewangan kepada akaun Chek Nah sendiri melalui akaun Bank Simpanan Nasional No 08228-41-00010553-3. - Bernama