Hungary halang gencatan senjata antara Israel-Palestin

Seorang lelaki Palestin meratapi kematian ahli keluarga selepas kediaman mereka di Genting Gaza dibedil jet Israel. - Agensi
Seorang lelaki Palestin meratapi kematian ahli keluarga selepas kediaman mereka di Genting Gaza dibedil jet Israel. - Agensi
A
A
A

BRUSSELS - Hungary pada Selasa menggunakan kuasa Vetonya bagi menghalang negara Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan kenyataan bersama bagi mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera antara Gaza-Israel.

Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell berkata, tindakan Hungary itu sekali gus menghalang usaha melindungi nyawa orang awam dan akses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Keutamaan EU adalah pelaksanaan gencatan senjata dan menghentikan semua kekerasan.

"Semua 26 negara anggota EU bersetuju dengan teks draf resolusi kecuali Hungary," ujar Borrell.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai angka korban yang tinggi membabitkan orang awam termasuk kanak-kanak.

Katanya, situasi di Gaza tidak boleh diterima.

"EU mahu tapak suci (Masjid al-Aqsa) terus dihormati dan menyokong hak orang awam beribadah di kawasan itu," katanya.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa gencatan senjata segera dilakukan di Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore berkata, buat masa ini penduduk Gaza memerlukan bantuan merangkumi bahan bakar, ubat-ubatan, alat pertolongan cemas dan vaksin Covid-19. - Agensi