Penerbangan lebih kerap sempena musim perayaan

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan akan memastikan syarikat-syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan bagi setiap musim perayaan untuk menampung permintaan yang tinggi, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, selain pertambahan bilangan penerbangan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan turut mempertimbang dan meluluskan penerbangan tambahan bagi laluan tertentu menjelang musim-musim perayaan.

“Kerajaan selepas ini akan kenalkan pertambahan penerbangan untuk semua musim perayaan dan bukan untuk Tahun Baharu Cina sahaja tetapi untuk semua musim perayaan sama ada Hari Raya, Hari Gawai, Hari Kaamatan dan semua kita akan pastikan ada penerbangan tambahan untuk tahun-tahun akan datang.

“Ini termasuk permohonan penerbangan tambahan yang telah diluluskan bagi laluan Johor Bahru-Kuching dan Johor Bahru-Sibu menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina yang dikendalikan syarikat penerbangan Air Asia Berhad,” katanya menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Beliau berkata, bagi laluan Johor Bahru-Kuching sebanyak 13 penerbangan tambahan telah diluluskan menjadikan bilangan penerbangan kepada 75 laluan dan bagi Johor Bahru-Sibu pertambahan 13 penerbangan kepada 41 keseluruhannya.

Anthony berkata, MAVCOM tidak menerima sebarang permohonan daripada syarikat penerbangan untuk pertambahan laluan penerbangan semasa perayaan Krismas.

“Setakat ini kekerapan penerbangan bagi perayaan Krismas ialah sebanyak 31 penerbangan seminggu yang telah diluluskan bagi laluan Johor Bahru-Kuching dan bagi laluan Johor Bahru-Sibu sebanyak 10 penerbangan seminggu yang dioperasikan oleh Air Asia Berhad.

“Kementerian turut memantau sendiri tambang bagi laluan berkenan sempena perayaan Krismas dan harganya masih berpatutan iaitu dalam lingkungan tidak lebih RM300,” katanya.

Kepada soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa), Anthony berkata, MAVCOM dan CAAM akan mempertimbang dan meluluskan pertambahan penerbangan sempena musim perayaan bagi penerbangan Kuala Lumpur-Kota Bharu jika mendapat permohonan daripada syarikat penerbangan. - Bernama
Artikel Berkaitan: