Kena kompaun RM70,000 sambut hari jadi

Gambar kecil: Asisten Komisioner Low Hang Seng. (Foto: Ihsan polis)
Gambar kecil: Asisten Komisioner Low Hang Seng. (Foto: Ihsan polis)
A
A
A

KLUANG - Padah menyambut hari jadi, 14 individu termasuk tuan rumah didenda dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM70,000 dalam kejadian di Taman Suria, di sini pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, operasi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dibuat pada jam 11 malam hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, apabila sampai di lokasi, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mendapati 10 lelaki dan empat perempuan berusia antara 17 hingga 38 tahun itu sedang berkumpul di hadapan rumah.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati 13 orang telah hadir ke rumah salah seorang penghuni di situ dengan tujuan meraikan hari lahir di mana aktiviti tersebut tidak dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kesemua mereka telah dibawa ke IPD Kluang dan sebanyak 14 kompaun telah dikeluarkan, masing-masing setiap seorang berjumlah RM5,000, di bawah Per.16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.

"Kita menyeru orang ramai agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh MKN bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis telah mengesan penyebaran satu pesanan suara yang telah tersebar luas di daerah Kluang.

Jelasnya, polis IPD Kluang telah menyiasat dan menafikan kesahihan kandungan pesanan suara tersebut tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dijalankan di Taman Sri Lambak.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tindakan tegas boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1988, melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain jika sabit kesalahan denda tidak melebihi RM50,00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketidakharmonian di kalangan masyarakat.

"Sebarang maklumat, mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 07-7784222 atau 07-7784256, atau 07-7766822 (Hotline) dan 014-3656822 (Tablet DCC)," ujarnya.