X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Pekerja perkhidmatan perlu wajib disaring

Dr Mohd Fikri Ujang
A
A

ALOR SETAR - Pekerja perkhidmatan yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan bekerja di luar kawasan PKPD perlu menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu di klinik kesihatan berdekatan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, mereka diberikan ujian saringan Covid-19 secara percuma dan dibenarkan hadir secara 'walk-in' ke klinik kesihatan berhampiran tempat tinggal masing-masing antara jam 8 pagi hingga 1 petang pada hari bekerja.

Menurut beliau, ketetapan itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) PKPD membabitkan daerah Kota Setar, Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Jitra bermula pada Rabu hingga 1 Jun depan.

“Petugas barisan hadapan dan perkhidmatan perlu yang bertugas di kawasan PKPD Kota Setar perlu jalani ujian calitan RTK-Antigen serta disahkan negatif Covid-19 sebelum dibenarkan keluar atau masuk kawasan berkenaan.

"SOP itu perlu dipatuhi semua petugas dan pekerja terbabit sebelum dibenarkan bekerja bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di daerah itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dr Mohd Fikri berkata, terdapat pengecualian saringan Covid-19 diberikan kepada dua kategori iaitu pekerja perkhidmatan perlu yang berada dalam kawasan PKPD dan bekerja dalam kawasan PKPD serta yang berada di luar kawasan PKPD dan bekerja dalam kawasan PKPD.

“Keputusan RTK boleh diperoleh dalam tempoh 24 jam dan mereka akan dipakaikan gelang merah jambu untuk pastikan mereka duduk di rumah, sebelum keputusan dikeluarkan,” katanya.

Berdasarkan SOP terbaharu yang dikemas kini Majlis Keselamatan Negara (MKN), waktu operasi perniagaan dilanjutkan sehingga jam 8 malam selain sektor pertanian, perundangan dan kehakiman dimasukkan dalam perkhidmatan perlu.

Menurut kenyataan itu, kebenaran bekerja hanya untuk perkhidmatan perlu atau tugas rasmi kerajaan dengan syarat memiliki surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah, mendapat kelulusan daripada polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penduduk selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh itu.

“Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah. Hanya seorang wakil dari setiap rumah dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan.

"Restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, gerai makan tepi jalan /kiosk dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 8 malam,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pembelian makanan hanya secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran dan makan di premis tidak dibenarkan.

“Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian, farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan dibenarkan operasi hingga jam 8 malam.

"Hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan lain seperti stesen minyak juga dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam, manakala pasar awam dan pasar borong dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 petang, namun pasar harian, pasar tani, pasar malam, bazar larut malam tidak dibenarkan beroperasi.

"Mana-mana pihak yang ingin menyumbang bantuan bekalan makanan sepanjang tempoh PKPD kepada penduduk yang memerlukan perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) melalui koordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)," kata kenyataan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!