MP pembangkang gesa Malaysia desak PBB, OIC, Liga Arab bertindak

Penindasan Israel terhadap hak rakyat Palestin - Agensi
Penindasan Israel terhadap hak rakyat Palestin - Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen pembangkang mendesak kerajaan Malaysia menunjukkan kecaman lebih keras terhadap tindakan pelanggaran dan penindasan Israel kepada hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri, hak kembali, keadilan dan kebebasan.

Mereka turut meminta kerajaan mendesak organisasi seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan lebih bermakna bagi melindungi rakyat Palestin.

"Kerajaan Malaysia sebagai pendokong kuat keadilan dan kedamaian bagi perjuangan rakyat Palestin harus bersedia untuk menghantar utusan perdamaian ke Gaza," menurut kenyataan bersama ahli-ahli Parlimen Pembangkang pelbagai parti itu pada Rabu.

Kenyataan bersama itu dibacakan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh secara langsung dalam sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom dan laman Facebook rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Pembangkang gesa ada sidang khas kutuk Israel

Dalam pada itu, ahli-ahli Parlimen pembangkang sekali lagi mendesak agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menasihati Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang khas Parlimen bagi membawa usul dan mengemukakan syor-syor mengutuk Israel atas keganasan terhadap Palestin.

"Perdana Menteri mesti segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang khas Parlimen sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkait Covid-19 untuk membawa usul bagi mengutuk Israel dan mengemukakan syor kepada Dewan Rakyat," kata mereka.

Menurut mereka, sokongan bipartisan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak itu mesti ditunjukkan tanpa mengira parti.

"Ahli Parlimen mesti bertindak untuk mendedahkan kekejaman Israel dengan mendesak Parlimen dan pemerintah untuk menamatkan semua kerjasama serta perdagangan keselamatan ketenteraan dengan aparteid Israel dan rejim penindasan yang serupa di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Termasuk melarang semua barang, perkhidmatan syarikat yang beroperasi di penempatan penjajah haram Israel serta menuntut penyiasatan PBB terhadap aparteid Israel," kata mereka.

Menurut mereka lagi, sebarang tindakan, langsung atau tidak langsung, besar atau kecil, simbolik atau praktikal adalah penting dan boleh membawa kepada perbezaan yang besar.