Covid-19: Thailand catat 3,394 kes baharu, 26 kematian

Thailand mencatatkan 3,394 kes baharu Covid-19 termasuk 1,498 jangkitan dalam kalangan banduan. - Foto 123RF
Thailand mencatatkan 3,394 kes baharu Covid-19 termasuk 1,498 jangkitan dalam kalangan banduan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatatkan 3,394 kes baharu Covid-19 termasuk 1,498 jangkitan dalam kalangan banduan, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 116,949 dalam tempoh 24 lalu.

Sebanyak 29 lagi kematian turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai 678 orang sejak wabak mula dikesan di negara ini Januari tahun lalu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, dari 3,394 kes baharu itu, sebanyak 3,377 membabitkan penularan tempatan dan 17 import termasuk lima warga Thailand yang menyelinap masuk dari Kemboja.

"Bangkok di kedudukan teratas dengan jumlah kes tertinggi iaitu 876 kes. Dalam tempoh yang sama juga lima kluster baharu dilaporkan di Bangkok menjadikan jumlah kluster setakat ini sebanyak 34," katanya semasa taklimat Covid-19 di sini pada Rabu.

Beliau berkata kluster baharu itu ialah dua kem pekerja binaan, pasar, kilang ais dan gudang kargo.

Apisamai berkata, pihak berkuasa berkaitan telah meningkatkan pengesanan kes aktif di kem pekerja itu.

"Semua 50 daerah di Bangkok mempunyai kem pekerja binaan. Sebilangan daerah mempunyai lebih 20 kem... ada beberapa kem menempatkan lebih 1,000 pekerja,” katanya.

Mengenai kes kematian baharu, Apisamai berkata, ia melibatkan 19 lelaki dan 10 wanita berusia antara 42 hingga 92 tahun dari Bangkok (14), Samut Prakan (lima), Pathum Thani (dua) dan masing-masing seorang di Chachoengsao, Lamphun, Chon Buri, Saraburi, Nakhon Pathom, Kamphaeng Phet, Nong Khai dan Nonthaburi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Apisamai berkata pihak berkuasa kesihatan telah melakukan lebih 300,000 pengesanan kes aktif di Bangkok dan kawasan pinggir bandar.

"Daripada jumlah ini, kira-kira tiga peratus didapati positif," katanya.

Berkenaan usaha vaksinasi, Apisamai berkata lebih 2.4 juta dos vaksin telah diberikan di Thailand sehingga kini.

"Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah menjadikan usaha vaksinasi sebagai agenda negara dan mengarahkan agensi berkaitan untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin," katanya. - Bernama