X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pegawai SPRM dipercayai terlibat Geng Nicky dibebaskan

Pada 27 April lalu, SPRM mengesahkan penahanan dua pegawainya yang dipercayai terlibat dengan jenayah terancang, Geng Nicky.
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan bulan lepas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Peguam Zaid Malek, yang mewakili kedua-dua lelaki berusia 41 dan 42 tahun itu berkata mereka dibebaskan sementara menunggu hasil siasatan polis berhubung kes tersebut dan mereka boleh didakwa sekiranya pendakwa raya mempunyai bukti yang cukup.

"Mengenai permohonan habeas corpus yang difailkan mereka agar dibebaskan serta-merta, kami masih menunggu arahan lanjut daripada kedua-dua anak guam," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada 10 Mei lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 24 Mei ini untuk pendengaran permohonan habeas corpus mereka.

Kedua-duanya memfailkan permohonan habeas corpus melalui notis usul secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Mei lepas dengan menamakan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, seorang pegawai polis, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

ARTIKEL BERKAITAN: Geng Nicky: Dua pegawai SPRM ditahan

Kedua-dua lelaki memohon perintah bahawa penangkapan serta penahanan mereka pada 21 dan 27 April lepas adalah tidak teratur, di luar bidang kuasa kawasan polis Johor dan tidak sah.

Mereka juga mendakwa siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 130V sehingga 130ZB Kanun Keseksaan adalah terlampau luas serta merangkumi elemen berbeza dan responden tidak mempunyai asas untuk menahan pemohon di bawah SOSMA.

Selain itu, mereka mendakwa tiada unsur kesalahan yang membenarkan penggunaan SOSMA dan penahanan mereka adalah tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide kerana bercanggah, antara lain, dengan Fasal 5 dan Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 April lepas, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!