Pekerja kilang warga Myanmar pukul pengurus hingga mati

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja lelaki warga Myanmar ditahan kerana dipercayai memukul pengurusnya menggunakan kayu sehingga menyebabkan kematian di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing, Batu Gajah, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu disedari oleh seorang lagi pengurus syarikat yang menjumpai mangsa Kew Nam Wang, 52, mengalami kecederaan dan pendarahan di kepala.

“Kejadian telah disaksikan dua lelaki rakan senegara suspek dan menurut mereka, suspek berumur 23 tahun itu telah mengambil sebatang kayu di tempat kejadian untuk memukul mangsa pada bahagian belakang kepala.

“Akibat kejadian, mangsa terus terjatuh ke atas lantai dan mengalami pendarahan di kepala manakala suspek terus melarikan diri dengan menaiki basikal,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan namun, doktor mengesahkan dia meninggal dunia kira-kira 8.35 malam berikutan pendarahan di dalam otak, retak tempurung kepala dan patah tulang tengkuk.

Susulan itu, katanya polis menahan suspek di belakang kawasan perumahan Bandar Seri Pengkalan, Pusing pada 6.15 petang semalam dan kini direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Artikel Berkaitan: