X

Kindly register in order to view this article
!

Anggota URB patah kaki dilanggar penagih dadah

Mohd Said
A
A

SEREMBAN - Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) patah kaki kiri selepas dilanggar sebuah van yang dipandu seorang lelaki disyaki penagih dadah di kawasan Taman Cengal Paroi di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) terserempak dengan sebuah van jenis Nissan Vanette yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, van yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak berhenti selepas diarahkan oleh anggota MPV sebelum dibantu anggota URB dari Balai Polis Senawang untuk menahan suspek.

"Semasa mengekori suspek sehingga di kawasan Taman Cengal Paroi, suspek membuat pusingan U dan melanggar anggota URB.

"Ketika polis mengejar suspek, dia sekali lagi membuat pusingan U dan melanggar kereta MPV sebelum suspek hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik. Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Said berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan polis menemui sebatang kayu yang dipasang dengan sebilah sabit panjang.

"Selain itu, hasil pemeriksaan pada cukai jalan kenderaan dan nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

"Polis turut menjumpai satu botol kaca yang diubahsuai sebagai alat untuk menghisap dadah dan tiub straw yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan yang disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 0.75 gram," katanya.

Katanya, suspek yang didapati positif dadah jenis morphine dan mempunyai beberapa rekod jenayah direman selama empat hari.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987, Seksyen 12 (2)/(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952," katanya.

Sementara itu, anggota URB yang mengalami mengalami kecederaan patah kaki kiri sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!