X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah buka PKRC baharu di Dewan Al Farabi

Dewan Al Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di Jalan Stadium, Alor Setar yang akan dijadikan sebagai PKRC. Gambar kecil: Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan menggunakan Dewan Al Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di Jalan Stadium, Alor Setar sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pusat itu yang dijangka dibuka dalam masa terdekat boleh menempatkan sehingga 400 pesakit tahap satu dan dua.

Menurut beliau, pemilihan dewan itu bagi menggantikan Dewan Wawasan, Jitra yang perlu dibaiki terlebih dahulu dan mengambil masa panjang untuk disiapkan selain membabitkan kos mahal.

"Sebelum ini, pusat rawatan Covid-19 yang dicadangkan adalah di Dewan Wawasan, Jitra tapi dewan itu memerlukan pembaikan yang agak mahal dan akan mengambil masa yang panjang sehingga tiga bulan seperti dimaklumkan oleh Majlis Perbandaran Kubang Pasu.

"Namun disebabkan kita memerlukan tempat itu dengan segera, jadi kita buat keputusan untuk menukarkannya kepada Dewan Al-Farabi di JPN Kedah," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, negeri ini memerlukan PKRC baharu dengan segera kerana kapasiti wad Covid-19 di Hospital Kuala Nerang, Kolej Kejururawatan Sungai Petani, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2) sudah mencapai tahap 92 peratus penggunaan.

Beliau berkata, bukan semua hospital di Kedah dapat dijadikan sebagai pusat dan menempatkan wad Covid-19 kerana masih lagi ada rakyat yang memerlukan rawatan bagi penyakit lain.

"Ada pesakit lain yang mengalami penyakit seperti darah tinggi juga perlu berulang alik mendapatkan rawatan di hospital.

"Mereka juga takut hendak ke hospital yang ada wad Covid-19 menyebabkan kita perlu ada tempat khusus bagi pesakit Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!