X

Kindly register in order to view this article
!

Field ICU Hospital Kepala Batas dijangka beroperasi Sabtu ini

ATM membangunkan Field ICU di kawasan parkir Hospital Kepala Batas (HKB) bagi merawat pesakit Covid-19.
A
A

KEPALA BATAS - Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas (HKB) yang sedang dibangunkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka dapat beroperasi Sabtu ini.

Komander Field ICU HKB, Leftenan Kolonel Dr Mohd Zamri Derahman berkata, Field ICU berkonsep hibrid itu akan menempatkan 27 katil bagi menampung bilangan pesakit Covid-19 kritikal yang memerlukan rawatan rapi.

"Field ICU dibina menggunakan konsep hibrid iaitu empat kontena ATM digunakan untuk menempatkan 12 katil dan 15 katil lagi ditempatkan di empat buah khemah yang didirikan di kawasan parkir dalam HKB.

"Proses pemasangan semua peralatan, khemah dan sambungan bekalan air, elektrik serta oksigen dijangka siap sepenuhnya menjelang Jumaat dan kami menjangkakan Field ICU tersebut dapat beroperasi pada Sabtu ini bagi menampung keperluan untuk pesakit kritikal Covid-19," katanya kepada pemberita selepas tinjauan pemasangan Field ICU di HKB pada Rabu.

Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan ‘Field ICU’ yang dikhaskan bagi merawat pesakit kritikal berikutan faktor peningkatan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih daripada 100 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, Field ICU yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas akan menggunakan konsep modular yang mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan ‘life support’ lain.

Sementara itu, Dr Mohd Zamri yang juga pegawai Pemerintah Batalion Kedua Perubatan di Kluang, Johor berkata semua peralatan dan kelengkapan untuk Field ICU itu dibawa dari Kluang dan ia pertama kali digunakan untuk hospital medan bagi pesakit Covid-19.

Katanya, seramai lima pegawai perubatan termasuk dua pakar bius bersama 30 petugas ATM pelbagai bidang perubatan akan terlibat membantu pasukan perubatan KKM sepanjang pengoperasian di Field ICU itu.

"Kami (ATM) akan terus membantu pasukan KKM bagi memberikan khidmat perubatan terbaik kepada orang ramai dan bagi kerja-kerja pemasangan Field ICU bermula hari ini (Rabu), seramai 40 pegawai dan anggota ATM terlibat dengan dibantu pasukan HKB," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!