Dev Kumar pangku Pengarah JSJ Bukit Aman

Dev Kumar akan memangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman
Dev Kumar akan memangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan bersara wajib pada Khamis selepas 39 tahun menyumbang bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu PDRM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Datuk Dev Kumar M M Sree akan memangku jawatan Pengarah JSJ.

Huzir yang dilahirkan pada 20 Mei 1961 di Taiping, Perak mula menyertai PDRM sebagai Pelatih Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 27 Disember 1982.

Huzir akan bersara wajib pada Khamis dan tempatnya akan dipangku oleh timbalannya, Dev Kumar
Huzir akan bersara wajib pada Khamis dan tempatnya akan dipangku oleh timbalannya, Dev Kumar

Setelah tamat latihan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara dan Diploma Sains Siasatan Kepolisan Universiti Malaya itu telah ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dari tahun 1983 hingga 1986.

Selain itu, beliau kemudiannya telah berkhidmat di beberapa buah kontinjen dan jabatan dalam PDRM seperti Batalion 6 Pasukan Polis Hutan Cheras (1986-1992) sebagai Platun Komander, Pegawai Turus Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur (2000).

Pada tahun 2003, Huzir dilantik sebagai Timbalan Ketua JSJ IPK Negeri Sembilan sebelum ditugaskan sebagai Ketua JSJ Negeri Sembilan pada 2004 dan Ketua JSJ IPK Sarawak pada tahun 2008.

Pada tahun 2013, beliau dilantik sebagai Komander Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) JSJ Bukit Aman serta Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman (2017).

Artikel Berkaitan:

Huzir yang juga bekas pemain ragbi PDRM pernah menyertai pasukan kebangsaan dari tahun 1981 hingga 1986.

Selain pernah menganggotai misi pemerhatian Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja pada 6 Ogos 1992, beliau juga menyertai misi pemerhatian PBB di Kosovo pada 12 September 1999 hingga 2000.

Sepanjang karier hampir 15 tahun dalam JSJ, antara kes profil tinggi yang berjaya diselesaikan beliau antaranya ialah Ops Jejak Aman 2/15 (Kelvin Morais), Ops Api OUG, Ops Api Setapak, Ops Cantas Geng 360 Devan, Ops Cantas Geng 04 Perak, Ops Cantas Geng Jin Jeet Tong serta Ops Cantas Mega (Geng 36 Negeri Sembilan).

Di atas kecemerlangannya, Huzir telah dianugerahkan beberapa pingat iaitu Pingat Kelakuan Terpuji Pahang (1991), Darjah Setia Negeri Sembilan (2006), Kesatria Mangku Negara (2007), Panglima Setia Pasukan Polis (2009), Darjah Indera Mahkota Pahang (2011), Jasa Setia Mahkota (2012) dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (2018).

Seluruh warga PDRM mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti Huzir kepada pasukan selama ini.