Najib marah kerana rasa diperdaya

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, bahawa beliau berasa marah kerana diperdaya berhubung kandungan surat sokongan permohonan kontrak Kerja-kerja Operasi dan Penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika prosiding membabitkan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony yang didakwa menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, Najib, 68, berkata, timbul perasaan itu kerana surat berkenaan bertentangan dengan hasrat sebenar pihak UMS.

Ketika membaca pernyataan saksi, Najib berkata, ketika kejadian, beliau selaku Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias bahawa Peter menghantar surat permohonan untuk penyambungan kontrak bertarikh 9 Jun 2014.

Najib yang juga saksi pendakwan ke-12 berkata, ia berhubung surat penyambungan kontrak itu adalah bagi Kerja-kerja Operasi dan Penyelenggaraan Bagi Sistem Mekanikal dan Elektrikal di Bangunan Fasa 2B, Bangunan dan Infra Di Kampus Induk FPL/Pusat Rawatan Warga Luar Sikuati, Kudat dan Bangunan lain UMS untuk tempoh lima tahun.

Antara kandungan surat tersebut katanya, berkaitan sokongan pihak universiti kepada Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd yang dikatakan akan bekerjasama dengan ULink Property Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh UMS).

Untuk rekod, Peter merupakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan Peter yang juga Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering.

“Merujuk kepada surat itu, pihak universiti menyatakan sokongan terhadap permohonan Syarikat Asli Jati Engineering untuk melaksanakan kerja secara rundingan terus.

“Jika saya tahu surat itu dibuat tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pihak Ahli Lembaga Pengarah UMS, saya tidak akan mempertimbangkan apa-apa kontrak atau penyambungan kontrak kepada Syarikat Asli Jati Engineering,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang juga saksi pendakwaan ke-12 menafikan kecuaiannya kerana menerima permohonan itu dengan niat baik.

Wan Shaharuddin: Berapa banyak Datuk Seri terima permohonan seumpama ini?

Najib: Sehari berpuluh-puluh permohonan saya terima.

Wan Shaharuddin: Adakah Datuk Seri betulkan semula keadaan itu?

Najib: Ya, saya buat keputusan batalkan keputusan asal dan sokong keputusan Ahli Lembaga Pengarah UMS.

Mengikut pertuduhan Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi disambung 26 dan 27 Julai depan.