PBB gagal jaga keamanan dunia

Mahathir Mohd Rais
Mahathir Mohd Rais
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekadar mengeluarkan kenyataan bimbang mengenai keganasan yang berlaku di Palestin menunjukkan organisasi itu gagal dalam menjaga keamanan dunia.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, sehingga kini Israel masih dilihat berpengaruh melalui proksi-proksinya di peringkat antarabangsa.

“Persoalan saya, di manakah PBB pada ketika ini. Sekadar mengeluarkan kenyataan mereka sangat bimbang mengenai keganasan dan kebinasaan yang sedang berlaku di Palestin adalah tidak cukup.

“Tindakan itu menunjukkan organisasi berkenaan gagal dalam menjaga keamanan dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mahathir turut mempertikaikan piagam yang menegakkan hak asasi manusia hanya sekadar piagam yang tertulis indah di atas kertas tanpa sebarang usaha untuk melaksanakannya.

Tambahnya, tindakan keganasan Israel ini juga perlu dihentikan dan jelas menunjukkan seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Ia jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, kemanusiaan antarabangsa dan Piagam PBB.

“Jika kita mampu membuka mata terhadap isu yang berlaku di negara lain, mengapa tidak bisa kita buka mata terhadap konflik Israel-Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Ingin saya tegaskan bahawa Palestin tidak memerlukan simpati semua pihak tetapi sebaliknya mereka memerlukan tindakan dunia agar kekejaman terhadap mereka dapat dihentikan dengan segera,” katanya.

Pada masa sama, rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang enteng ancaman siber dari Israel susulan daripada penggodam #OpsBedil yang dikatakan berpangkalan di Malaysia.

“Ancaman siber bukan suatu perkara yang boleh dianggap ringan oleh mana-mana pihak, meskipun kritikan dan tanda protes kita seharusnya diteruskan melawan propaganda Israel secara dalam talian tetapi perlu mengambil langkah berwaspada agar keselamatan negara kita turut terpelihara.

“Saya puji tindakan berani rakyat Malaysia melakukan serangan siber sehingga mendapat perhatian dunia dan saya percaya setiap satu daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keamanan tanpa mengira negara, bangsa dan agama.

“Semangat bersolidariti yang dipamerkan ini menunjukkan bertapa kuatnya ukhuwah kita sebagai negara yang berbilang kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir juga menyeru kepada semua untuk terus memberi sokongan padu kepada saudara di Palestin dan semoga dapat menghentikan kekejaman di muka bumi ini terus berlaku.