Keputusan 'lockdown' Selangor tertakluk kepada MKN

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan Selangor tidak mempunyai halangan sekiranya kerajaan Persekutuan ingin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, pelaksanaan itu perlu dilakukan secara menyeluruh dan holistik dengan mengambil kira beberapa aspek seperti kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menolak pelaksanaan PKP secara penuh seperti yang dilaporkan beberapa pihak sebelum ini, namun pelbagai aspek perlu diseimbangkan demi kebaikan rakyat negeri ini.

"Bukan mudah untuk kita buat keputusan PKP penuh atau lockdown kerana pelbagai aspek perlu diambil kira secara menyeluruh.

"Petugas kesihatan juga telah berjuang sejak awal tahun lalu bagi menangani wabak ini dan sebarang keputusan perlu dilihat secara menyeluruh," katanya ketika sidang media yang berlangsung di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), pada petang Rabu.

Hadir sama, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sebelum itu, Siti Mariah dilaporkan berkata, kerajaan Selangor menolak pelaksanaan PKP secara penuh sekiranya diberikan pilihan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Persekutuan.

Namun begitu, beliau berkata, sekiranya penguatkuasaan itu terlalu mendesak, kerajaan negeri beranggapan PKP perlu dilaksanakan secara bersasar melibatkan kawasan serangan kluster wabak Covid-19 sahaja

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan Selangor juga kini dalam proses akhir bagi mendapatkan bekalan vaksin untuk diagihkan dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri menjangkakan proses pembelian vaksin ini akan selesai dalam tempoh sebulan dari sekarang.

"Struktur agihan (vaksin) itu terdiri daripada dua kelompok iaitu percuma dan melibatkan kos, malah ini adalah usaha bagi mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan masyarakat," katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi sidang akhbar bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin pada Isnin lalu mengumumkan Kementerian Kesihatan bakal melaksanakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor setelah melihat kes jangkitan Covid-19 di negeri itu masih lagi tinggi.

Selangor merekodkan 2,252 kes baharu Covid-19 pada Rabu dan menjadi penyumbang terbesar di Malaysia yang mencatatkan angka kes baharu tertinggi berjumlah 6,075 secara keseluruhan.