X

Kindly register in order to view this article
!

'Tiada varian Singapura'

Tangkapan layar kenyataan Kejriwal di Twitter yang secara melulu mendakwa tentang kewujudan 'varian Singapura'.
A
A

SINGAPURA - Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) menzahirkan rasa kesal berhubung kenyataan Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal yang mendakwa terdapat varian baharu Covid-19 di negara itu.

Menerusi kenyataan media pada Rabu, MFA kecewa dengan tuduhan tidak berasas dilemparkan Kejriwal menerusi Facebook dan Twitter kononnya virus bermutasi di Singapura sangat berbahaya terhadap kanak-kanak dan boleh mencetuskan gelombang jangkitan ketiga di India.

"Kami sangat kesal kerana tokoh politik terkemuka sepertinya gagal memastikan kesahihan fakta sebelum membuat tuduhan melulu seperti itu. MFA telah bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi India, P Kumaran untuk menyuarakan kebimbangan kami," ujar kementerian itu lagi.

Menteri Luar, Vivian Balakrishnan turut memetik kenyataan asal Kejriwal di Twitter dan menegaskan, 'ahli politik seharusnya berpegang kepada fakta! Tiada varian Singapura'.

Beliau juga menyertakan pautan kepada artikel bertarikh 11 Mei diterbitkan jurnal sains Nature yang menjelaskan bagaimana varian baharu seperti B1617 menjadi dominan di India sebelum ia merebak ke kira-kira 40 negara termasuk Singapura.

Rakan sejawatannya di India, Subrahmanyam Jaishankar cuba meredakan situasi antara kedua-dua negara dengan menyatakan Kejriwal 'tidak bercakap mewakili India'.

"Ia adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Singapura dan India telah menjadi rakan kongsi yang kuat untuk memerangi pandemik Covid-19," katanya.

Difahamkan, Kejriwal membuat kenyataan kontroversi itu yang turut dipaparkan beberapa rangkaian media seperti Hindustan Times dan NDTV pada Selasa serta mendapat respons segera Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) yang mengesahkan ia adalah pernyataan tidak benar.

Laporan media itu juga memetik kenyataan Kejriwal yang menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narenda Modi membatalkan perkhidmatan udara bersama Singapura dan mengutamakan vaksinasi ke atas kanak-kanak. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!