X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket pinjaman wang tidak wujud licik 'pancing' mangsa

Zainuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud dikesan licik mengambil 'peluang' menawarkan pinjaman di media sosial dengan kadar faedah rendah selain proses kelulusan segera.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mangsa yang berminat kemudiannya akan dihubungi sindiket sebelum diminta untuk membuat pembayaran pendahuluan.

"Sindiket mendakwa pembayaran itu bertujuan bagi yuran perjanjian, insurans, pengaktifan akaun dan sebagainya.

"Namun, setelah bayaran dibuat, pinjaman yang dijanjikan tidak diperolehi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, sepanjang tahun 2019, sebanyak 5,039 kes dilaporkan dengan kerugian bernilai RM48.4 juta dan meningkat kepada 5,718 kes dengan kerugian mencecah RM62.3 juta.

Katanya, bagi tahun 2021 sehingga 18 Mei, sebanyak 1,987 kes dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM20.2 juta.

Jelas Zainuddin, dalam usaha untuk menangani kes sedemikian, aspek pencegahan kesedaran masyarakat perlu dititikberatkan selain tindakan pembenterasan pihak polis.

"Beberapa tips boleh digunakan bagi mengelak daripada menjadi mangsa iaitu jangan mudah percaya dengan iklan tawaran promosi pinjaman dengan tawaran kadar faedah rendah dan proses permohonan segera tanpa syarat ketat.

"Selain itu, hadir secara fizikal ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja. Ingat, tiada sebarang bayaran wang akan dikenakan sebelum permohonan diluluskan," katanya.

Tambahnya, usah sesekali memberikan maklumat peribadi atau akaun bank dan kad ATM kepada mana-mana individu tidak dikenali.

"Orang awam juga boleh membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pengesahan syarikat pinjaman berlesen atau tidak di https://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/585 atau semak akaun bank dan nombor telefon diragui di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/," katanya.

Ujarnya, laporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud di media sosial.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!