SPRM selesai laksana 29 daripada 115 inisiatif NACP

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai melaksanakan sejumlah 29 daripada 115 inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, setakat 31 Disember 2020.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, baki 86 inisiatif masih dalam proses.

“Mengakui bahawa usaha bersepadu adalah penting untuk memastikan langkah pencegahan rasuah yang holistik, Malaysia telah menarik penglibatan pelbagai pihak berkepentingan sebagai agensi utama untuk melaksanakan inisiatif di bawah NACP.

“SPRM adalah agensi utama yang bertanggungjawab melaksanakan pelan ini dan ditugaskan untuk memainkan peranan utama dalam inisiatif ini,” katanya semasa menyampaikan ucap tama ‘World Band Eap Launch Global Flagship Report’ secara langsung menerusi Facebook World Bank Malaysia di sini pada Rabu.

Azam berkata, antara inisiatif NACP yang sudah selesai dilaksanakan ialah pengisytiharan aset untuk anggota pentadbir dan penambahbaikan terhadap dasar mengenai penerimaan hadiah, elaun dan bayaran kepada anggota pentadbiran.

Beliau berkata, SPRM juga memimpin pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang merupakan satu daripada inisiatif wajib di bawah NACP khususnya dalam ‘Memperkukuhkan Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan Awam’.

“OACP dirangka dengan tujuan membantu organisasi iaitu semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk membangunkan pelan strategi antirasuah korporat.

“Ia menggariskan pernyataan masalah, pendekatan dan program yang relevan kepada semua aspek dalam meningkatkan pelan seperti pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azam berkata, pelan itu juga bertujuan memperuntukkan sumber yang diperlukan untuk pelaksanaan dasar yang dinyatakan, menentukan jangka waktu yang wajar dan merangka laluan ke arah pencapaian objektif strategik.

“SPRM berjanji untuk melaksanakan komitmen bagi melengkapkan baki inisiatif dalam jangka waktu yang dirancang,” katanya. - Bernama