Guni 'benih padi' rupanya daun ketum

Lori yang membawa daun ketum dirampas untuk siasatan lanjut. Foto: ihsan PDRM
Lori yang membawa daun ketum dirampas untuk siasatan lanjut. Foto: ihsan PDRM
A
A
A

TELUK INTAN - Cubaan pemandu lori dan kelindannya membawa daun ketum ke Kuala Lumpur gagal apabila kenderaan itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di KM 30, Jalan Teluk Intan - Bidor di sini pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bertindak menahan lori yang membawa 21 guni antaranya bertulis 'benih padi'.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua guni tersebut mengandungi daun ketum seberat 152 kilogram bernilai RM4,560.

"Siasatan mendapati kedua-dua lelaki tersebut yang berusia 43 tahun merupakan pekerja sebuah syarikat pembekal perkakasan peralatan pembinaan di Sungai Manik.

"Suspek dipercayai menggunakan peluang untuk membawa daun ketum itu ketika mereka perlu menghantar barang milik syarikat ke Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, salah seorang suspek mengakui kesemua daun ketum itu sudah ditempah awal oleh pembeli.

"Suspek dipercayai aktif menjual daun ketum sejak tiga bulan lalu.

"Kesemua barangan termasuk kenderaan dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: