Tujuh anggota polis dikuarantin, kontak rapat OKT positif

Mohamad Noor Yusof Ali
Mohamad Noor Yusof Ali
A
A
A

KUANTAN - Tujuh anggota polis dikuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada seorang lelaki Orang Kena Tuduh (OKT) yang diiringi ketika hadir mendengar sebutan kes di Mahkamah Majistret Kuantan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua anggota terlibat sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan masih menunggu keputusan.

Menurutnya, OKT berkenaan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan dan hadir ke mahkamah pada hari berkenaan untuk mendengar sebutan semula kesnya.

"Ketika hadir OKT tidak menunjukkan sebarang gejala dan melepasi saringan suhu badan sebelum masuk ke mahkamah.

"Lelaki itu kemudiannya dijatuhkan hukuman denda namun gagal berbuat demikian dan terpaksa dihantar ke penjara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

Mohamad Noor berkata, anggota terlibat mengiringi pesalah itu untuk menjalani saringan Covid-19 sebagai prosedur sebelum dihantar ke penjara dan hasil ujian mendapati dia positif.

"Kita membantu pihak penjara dengan menghantar pesalah ke Penjara Bentong di mana anggota terlibat mengambil langkah keselamatan dengan memakai alat pelindungan diri (PPE) lengkap dan hanya menggunakan sebuah kenderaan.

"Selepas menghantar pesalah, anggota terlibat terus balik menjalani saringan Covid-19 dan dikuarantinkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenderaan yang digunakan juga telah menjalani proses sanitasi sebaik tiba di Kuantan.

"Walaupun semua anggota terlibat sudah menerima dua dos vaksin sebelum ini, namun kita tetap tekankan supaya mereka dan semua anggota polis mematuhi SOP yang ditetapkan dalam penugasan seharian.

"Ini antara cabaran dan risiko yang terpaksa dihadapi anggota dan pegawai polis sebagai petugas barisan hadapan dalam mendepani ancaman virus ini demi tugas yang diamanahkan," katanya.