Lee Tuck kembali perkuat TFC

Lee Tuck ketika beraksi- Foto SRI PAHANG FC
Lee Tuck ketika beraksi- Foto SRI PAHANG FC
A
A
A

PEMAIN import Sri Pahang FC, Lee Tuck bakal kembali menyarung jersi pasukan lamanya Terengganu FC (TFC) sehingga penghujung saingan musim ini selepas gagal memberi impak bersama Tok Gajah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Ia sekali gus menamatkan spekulasi nasib pemain berusia 32 tahun itu bersama skuad Tok Gajah selepas beberapa perubahan dibuat dalam skuad bimbingan Dollah Salleh bagi kembali memberikan saingan dalam baki perlawanan Liga Super.

Sri Pahang FC mengesahkan kelab itu mencapai persetujuan meminjamkan bekas kapten TFC tersebut kepada TFC sehingga tamat saingan musim ini.

“Lee dipinjamkan ke Terengganu FC setelah tutup jendela perpindahan kedua tahun ini dan akan kembali semula menyarung jersi Sri Pahang FC pada musim hadapan,” menurut kenyataan Sri Pahang FC pada Rabu.

Jendela perpindahan kedua Liga-M bermula 3 hingga 30 Mei ini.

Lee Tuck menyertai Sri Pahang FC pada awal musim ini selepas kontraknya bersama TFC yang berakhir hujung tahun lalu tidak disambung.

Beliau sebelum itu menghabiskan tiga musim bersama TFC telah menjaringkan lebih 20 gol serta membantu pasukan muncul naib juara Piala Malaysia 2018, selain membantu TFC ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.

Kehadiran Lee Tuck di TFC bakal memberi lebih banyak pilihan buat pengendali Nafuzi Mohd Zain di jentera serangan skuad Penyu dalam mencabar kejuaraan Liga Super seterusnya pada kempen Piala Malaysia pada Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

TFC kini menduduki tempat kedua Liga Super dengan 27 mata, tiga mata dibezakan dengan pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Sri Pahang FC di kedudukan kesembilan setelah mengumpul 12 mata.