Covid-19: 6,075 kes positif, tertinggi direkodkan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia sekali lagi merekodkan kes harian tertinggi dengan 6,075 kes baharu positif Covid-19 hari ini sekali gus menjadi yang tertinggi sejak pandemik itu berlaku Mac tahun lalu.

Ia sehari selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kematian tertinggi berkaitan Covid-19 pada Selasa iaitu 47 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 485,496.

"Terdapat tiga kes import dan 6,072 penularan dalam negara membabitkan 5,452 rakyat tempatan dan 620 warga asing," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, jumlah kes aktif di seluruh negara adalah 47,340 dengan 559 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 303 pesakit pula memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Beliau berkata, kes kematian dilaporkan adalah 46 yang membabitkan 19 kes di Selangor, (tujuh) di Sarawak, (enam) di Johor dan (empat) di Kelantan.

"Dua kes kematian dilaporkan masing-masing di Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah manakala satu kematian pula direkodkan di Negeri Sembilan dan Melaka.

"Berdasarkan data yang dikeluarkan KKM, peratusan kes sembuh merudum kepada 89.9 peratus dengan jumlah kes sembuh adalah 3,516 kes menjadikan keseluruhannya adalah 436,116 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, Selangor menjadi negeri yang merekodkan kes tertinggi dengan 2,251 kes diikuti Johor (699), Kuala Lumpur (660), Kedah (446), Kelantan (441), Sarawak (323), Perak (220) dan Terengganu (203).

Katanya, Negeri Sembilan pula melaporkan 189 kes, Pulau Pinang (183), Sabah (160), Pahang (150) dan Melaka manakala Labuan (14), Putrajaya (sembilan) serta Perlis (enam).

Berikut merupakan pecahan kes bagi setiap negeri:

Selangor: 2,251 kes

Sabah: 160 kes

Johor: 699 kes

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 660 kes

Sarawak: 323 kes

Pulau Pinang: 183 kes

Negeri Sembilan: 189 kes

Kelantan: 441 kes

Perak: 220 kes

Kedah: 445 kes

Melaka: 122 kes

Pahang: 150 kes

Terengganu: 203 kes

WP Labuan: 14 kes

WP Putrajaya: 9 kes

Perlis: 6 kes