Padah bersembang luar rumah, lelaki dikompaun RM3,000

Notis kompaun terhadap lelaki tersebut tular di laman sosial.
Notis kompaun terhadap lelaki tersebut tular di laman sosial.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dari Taman Tanah Putih Baru di sini dikompaun RM3,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas dikesan bersembang di luar sebuah rumah dalam kawasan perumahan itu pada Isnin.

Tindakan kompaun terhadap lelaki berusia 58 tahun itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali selepas notis kompaun terhadap lelaki tersebut tular di laman sosial.

Mohamad Noor berkata, tindakan itu diambil mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya, bosan kerana terpaksa berkurung di dalam rumah ekoran pelaksanaan PKPD bukan alasan untuk penduduk kawasan terlibat keluar tanpa kebenaran apatah lagi untuk bersembang bersama jiran.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berdegil dan tindakan kompaun akan dikeluarkan terhadap mereka.

"Individu yang menjalani kuarantin perlu berada di rumah jika tiada urusan penting atau kecemasan.

"Sekiranya ada keperluan mendesak, mereka yang terlibat boleh menghubungi pihak polis atau Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB) untuk mendaparkan bantuan dan kita akan salurkan maklumat itu kepada pihak berkenaan untuk tindakan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

Mohamad Noor berkata, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan kerjasama penduduk di Taman Tanah Putih Baharu dan Seri Kemunting yang kini berada dalam PKPD.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga hari ini kita dapati tahap pematuhan SOP amat baik," katanya.

Tambah beliau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuantan, sebanyak 39 kompaun telah dikeluarkan termasuk atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran dan menaiki kenderaan melebihi jumlah penumpang dibenarkan.

Beliau berkata, tindakan tegas yang diambil pihaknya bukan bertujuan mencari salah sesiapa sebaliknya bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 di daerah ini dapat dibendung daripada terus meningkat.

"Satu cadangan telah diangkat bagi melaksanakan SOP lebih ketat di daerah ini dengan mengambilkira peningkatan kes jangkitan yang membimbangkan.

"Perkara ini telah dibentang dan menunggu kelulusan kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ia dilaksanakan," katanya.