Segera laksana moratorium automatik hingga hujung tahun

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan didesak segera melaksanakan moratorium automatik hingga hujung tahun ini bagi membantu ekonomi rakyat yang terjejas teruk, termasuk mereka yang terpaksa menganggur.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kerajaan boleh melaksanakannya dengan menetapkan golongan mana yang layak ditawarkan moratorium automatik dan mengecualikan jutawan syarikat besar.

Jelasnya, apa yang membimbangkan ialah rakyat yang terjejas teruk akan berhadapan kerenah birokrasi apabila berurusan sendiri dengan pihak bank.

"Masih ramai yang belum dapat pekerjaan baharu setelah menganggur kerana Covid-19. Mereka yang berniaga juga masih belum dapat berniaga sepenuhnya.

"Ada yang baharu menghidupkan semula perniagaan tetapi mengalami kerugian kerana pelaksanaan PKP 3.0 di saat terakhir.

"Justeru, amat wajar moratorium automatik diberi hingga ke hujung tahun apatah lagi bank-bank masih untung besar di waktu PKP ini," katanya dalam satu kenyataan di facebook rasminya.

Beliau berkata demikian bagi memgulas kenyataan Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus yang tidak bersetuju moratorium automatik dilaksanakan.

Tegasnya, hujah Nor Shamsiah bahawa sektor ekonomi masih beroperasi walaupun PKP 3.0 dilaksana di seluruh negara tidak kukuh.

Artikel Berkaitan:

"Malangnya, sejak Parlimen digantung, rakyat yang terjejas ketiadaan saluran supaya nasib mereka terbela.

"Mereka kini hanya ada media sosial. Kalau bakar suar dan naikkan kain rentang 'kerajaan gagal' mereka mungkin ditangkap," ujarnya.