Serah 100 peratus keuntungan kepada rakyat Palestin

Hishamuddin (tengah) menunjukkan wafer emas edisi khas yang akan dijual kepada ahli koperasi dan pelanggan pada Khamis ini.
Hishamuddin (tengah) menunjukkan wafer emas edisi khas yang akan dijual kepada ahli koperasi dan pelanggan pada Khamis ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Sebagai tanda solidariti terhadap nasib Palestin yang diserang zionis Israel, Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) menyalurkan 100 peratus keuntungan jualan kepada rakyat negara itu.

Pengerusi Ko-Makmur, Hishamuddin Abdullah berkata, keseluruhan keuntungan itu akan disalurkan menerusi penjualan wafer edisi khas 'Untukmu Palestin' kepada badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care melalui Makmur Care untuk diagihkan kepada NGO berdaftar di Palestin.

Menurutnya, wafer edisi terhad seberat satu gram itu dikeluarkan sebanyak 5,000 unit bagi edisi pertama dan boleh dibeli ahli koperasi serta pelanggan pada Khamis di cawangan Makmur Gold di seluruh negara.

"Ini salah satu usaha dan dedikasi kami untuk sentiasa bersama menyokong warga Palestin dalam usaha membebaskan negara mereka daripada kekejaman regim Zionis.

"Makmur Gold tidak mengambil keuntungan dalam penjualan wafer ini kerana kita sudah bersetuju bahawa 100 peratus hasil jualan akan disalurkan kepada Muslim Care dengan kerjasama Makmur Care untuk diserahkan kepada NGO (berdaftar) di sana (Palestin)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran wafer emas berkenaan di Wisma Makmur Gold di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood dan Setiausaha Ko-Makmur, Khairul Azam Awang.

Dalam pada itu, Hishamuddin memberitahu, setiap unit dijual pada harga RM330 dan pihaknya menyasarkan semua wafer emas itu terjual dalam masa kira-kira seminggu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan, pihaknya turut bercadang untuk mengeluarkan wafer emas sama bagi edisi kedua.

"Perkara itu akan dibincangkan kemudian dan bergantung kepada permintaan serta sambutan daripada ahli dan pelanggan mereka.

"Buat masa ini kita tumpukan kepada penjualan 5,000 unit bagi edisi pertama terlebih dahulu," ujarnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan kerjasama baik sedia terjalin antara Makmur Care dan Muslim Care dalam pelbagai program sebelum ini.

Tambahnya, ia membuka ruang untuk mereka meneruskan jalinan kerjasama itu bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

"Sebelum ini kita sudah bekerjasama dengan Muslim Care, banyak program kita anjurkan secara bersama sepanjang bulan Ramadan dan bantuan lain.

"Jadi, dari situ kita fikir untuk meneruskan (kerjasama) melalui projek ini," katanya.