X

Kindly register in order to view this article
!

Nora akui terima lamaran tapi bukan Annuar Musa

Nora Ariffin mengakui ada menerima lamaran pernikahan dan juga mendapat restu anak-anak termasuk keluarganya. - Foto Instagram Nora Ariffin
A
A

PENYANYI terkenal, Datuk Nora Ariffin mengakui dirinya ada menerima lamaran pernikahan, namun bukanlah daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa seperti yang didakwa sebelum ini.

Nora, 48, yang juga balu kepada komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi itu, sebaliknya menegaskan lelaki yang mahu memperisterikan beliau itu merupakan personaliti yang bukan dalam kalangan orang terkenal.

"Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya mengumumkan bahawa saya ada menerima lamaran daripada seseorang.

"Insya-ALLAH jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan berkongsi mengenai hari bahagia saya dengan anda semua tidak lama lagi," katanya pada Rabu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu berkata demikian sebagai menjawab dakwaan kononnya beliau dan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu sudah bernikah di selatan Thailand.

Bahkan, di media sosial tersebar sekeping salinan sijil pernikahan yang didakwa milik Nora dan Annuar.

"Demi ALLAH, saya dan Tan Sri (Annuar) tidak bernikah, saya sendiri tidak faham bagaimana ada pihak yang boleh buat tuduhan sedemikian.

"Sudah banyak kali saya nafi, Tan Sri juga sudah menafikannya, namun masih ada yang nampaknya tidak percaya.

"Disebabkan itu, saya fikir sudah sampai masanya saya umumkan bahawa saya ada menerima lamaran pernikahan dan sedang merancang ke arah majlis itu," akui beliau lagi.

Menurut Nora, kesediaannya untuk bernikah dibuat selepas berfikir sedalam-dalamnya selain turut direstui oleh anak-anak.

"Anak-anak ada berkata, mereka akan memberi sokongan pada apa sahaja keputusan yang baik buat saya. Mereka hanya mahu melihat ibu mereka gembira," jelas Nora.

Pada masa sama, Nora juga memaklumkan, keluarga di sebelahnya dan Allahyarham Johan turut sependapat sekiranya ada lelaki yang serius untuk memperisterikannya, elok sahaja dipertimbangkannya.

"Ibu Abang Johan juga ada berpesan pada saya sebelum beliau meninggal dunia sekiranya ada lelaki yang mahu mahu melamarnya, terima saja.

"Alhamdulillah, berkat restu dan sokongan anak-anak serta keluarga, saya sudah bersedia menerima lamaran itu," kata Nora.

Nora mengahwini Johan pada 1992 dan hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Johan, bagaimanapun meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung, sementara anak kedua pasangan itu, Muhammad Syakir Aliff pula menghembuskan nafas terakhir pada usia 20 tahun pada 13 Disember 2019. - Astro Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!