Pemandu lori ditahan seludup 5.4 tan minyak masak bersubsidi

Dua buah lori yang ditahan membawa 5.4 tan minyak masak bersubsidi di sini
Dua buah lori yang ditahan membawa 5.4 tan minyak masak bersubsidi di sini
A
A
A

KOTA BHARU - Kegiatan dua pemandu lori mengambil upah membawa barang seludup dengan harga semurah RM1.50 sekotak untuk minyak masak bersubsidi dikesan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu operasi di sini, pada Selasa.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, sebanyak 5.4 tan minyak masak bersubsidi dirampas melalui dua penahanan tersebut iaitu 2,890 kilogram untuk lori pertama dan 2,550 kilogram untuk lori kedua.

"Pasukan operasi menjejak sebuah lori bermula jam 4 petang iaitu dari Gua Musang menuju ke sekitar sempadan negara berhampiran Kampung Ayer Batu, Panglima Bayu, Tanah Merah.

"Serbuan dilakukan lebih kurang jam 6 petang dan berjaya menahan dua buah lori tiga tan bersama pemandunya di lokasi tersebut.

"Operasi ini dijalankan berdasarkan risikan dua minggu yang dijalankan pihak kami dan turut menemui satu lokasi sekitar sempadan negara yang dijadikan tempat transit sementara barangan kawalan sebelum diseludup ke negara jiran melalui pengkalan haram," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM113,600 dan siasatan awal mendapati pemandu berkenaan mengambil upah membawa barangan itu untuk dihantar ke lokasi yang diminta sebelum diseludup.

Pemandu lori tersebut ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Operasi dijalankan dengan kerjasama pihak KPDNHEP dan Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Artikel Berkaitan: