Tular warganet 'perang' antara laksa Johor dan Kedah

Komen tular yang menyebabkan timbulnya 'perang' di laman sosial. (Tangkap layar komen-komen warganet di group tersebut.)
Komen tular yang menyebabkan timbulnya 'perang' di laman sosial. (Tangkap layar komen-komen warganet di group tersebut.)
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba tular di laman sosial 'perang' laksa dari Kedah dan laksa dari Johor hingga ada warganet mempertikaikan jenis ikan yang digunakan dalam masakan kegemaran rakyat Malaysia itu.

'Perang' tersebut dikatakan bermula di sebuah grup masakan berkongsi ilmu kuih-muih yang mana seorang wanita dikenali Sarah Az-zahra telah berkongsi resipi laksa Johor menggunakan ikan kembung.

Namun kemudian 'peperangan' itu menjadi hangat apabila seorang suri rumah bernama Ummi Sarah Az Zahra berkongsi resepi cara membuat laksa Johor menggunakan ikan sardin di grup terbabit.

Pada mulanya, warganet memberi reaksi positif di atas perkongsian resipi itu bagaimanapun tampil pula seorang wanita dikenali Siti Rahmah Ahmad memuat naik komen menggunakan ikan tenggiri untuk membuat kuah laksa Johor kerana dakwanya ikan kembung atau selayang hanya layak untuk orang utara atau pantai timur sahaja.

Katanya, "Kalau tak ada ikan parang guna ikan tenggiri, jangan jatuhkan standard kami orang Johor dengan menggunakan ikan kembung atau selayang. Itu standard orang utara atau pantai timur".

Komen berbaur kecaman telah meledakkan kemarahan penggemar laksa dari seluruh negeri.

Malah ada juga warganet yang menyokong kenyataan Siti Rahmah mengenai penggunaan ikan tengggiri dalam masakan laksa yang disifatkan lebih enak.

"Laksa Johor memang sinonim dengan guna ikan parang atau tenggiri. Saya sependapat dengan Siti Rahmah. Kuah laksa Johor sangat beza daripada kuah laksa negeri lain kerana ikan yang digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau guna ikan kembung atau ikan sardin, ikan selayang itu boleh tapi rasanya macam kuah laksa Penang atau laksa Kedah. Untuk jaga keunikan laksa Johor jenis ikan yang digunakan adalah penting. Maaf kerana saya penggemar laksa Johor yang tulen," jelas Azizah Abd Gani.

Tidak kurang itu juga, penyokong laksa Kedah juga tampil memberi hujah mereka hingga terjadilah 'perang' antara laksa Johor dan laksa Kedah.

Kata Mastika Halim pula, "Sekurangnya kami tak tukar laksa dengan spageti. Apabila laksa dekat peket laksa tu tulis laksa bukan spageti. Apa barang buat laksa letak spageti. Aku buat laksa pakai ikan kayu ke sardin ke, setakat tenggiri dengan parang tu buat ikan masin je. Orang nak buat laksa, dia pun nak buat laksa".

Sementara itu, bagi meredakan keadaan, Amnah Mat Noor tampil memberitahu, "Saya orang kayangan... tapi saya buat laksa Johor pakai kembung besar... sedap hingga menjilat jari... yang penting rajin masak dan ada ikan kurau kering, masak dengan kasih sayang, tak kira ikan apa sekali pun, jangan menghina".

Ujar Intan Yuniza pula dalam nada berseloroh, "Saya pakai ikan paus ramai boleh makan, pakailah apa pun jenis ikan tetap sedap, kalau pakai daging atau ayam tu yang pelik. Jangan gaduh-gaduh pasal masak dah kenapa buat malu ja cek oiiiii... dah berdamailah ye.. 0-0. Selamat Hari Raya maaf zahir batin".

Malah ada juga menyatakan komen-komen tersebut hanya sekadar gurauan.

Selain itu, Murni Che Mat menyatakan dalam masakan kuah laksa, boleh menggunakan pelbagai jenis ikan sekalipun mengikut cita rasa masing-masing dan tidak perlu diperbesarkan isu yang kecil.

Rata-rata warganet juga bersetuju dengan kata-kata positif daripada Murni Che Mat dan berharap perkara itu tidak berlarutan dan menyarankan orang ramai menggunakan bahasa yang lebih sopan kerana bahasa mencerminkan budaya bangsa.

"Budi bahasa budaya kita... jaga pertuturan. Komen dan penulisan kita mencerminkan siapa diri kita. Wanita tak seharusnya nampak tak sopan sis...," kata Lyana Kmarudin.

Sehingga Rabu, posting resipi laksa itu meraih lebih 4,700 komen dan 4,500 perkongsian dari warganet.