Modal serang Najib dibimbangi makan diri

Najib Tun Razak - Foto Rosli Talib
Najib Tun Razak - Foto Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan di bawah pentadbiran PH diibaratkan seperti 'harimau hilang taring' apabila dilihat sering memainkan isu menyerang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang tempoh berkempen bagi PRK Semenyih.

Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir, situasi tersebut berlaku selepas mendapati aura dan populariti Najib semakin melonjak dalam kalangan rakyat khususnya masyarakat Melayu.

"Kebangkitan Najib dapat lihat selepas pasca PRK Parlimen Cameron Highlands bulan lalu. Kehadiran beliau turun padang bertemu penduduk tempatan mendapat perhatian yang cukup memberangsangkan.

"Masyarakat semakin sedar bahawa kerajaan PH gagal menunaikan manifesto dan menjaga kebajikan rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Najib sewaktu memerintah negara," katanya.

Kata Jeniri, sekiranya kerajaan PH berterusan menggunakan modal menyerang Najib bagi meraih undi, bimbang strategi itu akan memakan diri sekali gus menjatuhkan kredibiliti parti.

"Kerajaan PH perlu move on kerana Najib telah tumbang pada PRU14. Fokus utama kini tertumpu pada negara dan rakyat.

"Seharusnya, sepanjang proses berkempen kerajaan mengambil peluang 'menjual' dasar-dasar yang membantu meringankan rakyat terutamanya melibatkan kos sara hidup," tegasnya.

PRK Dun Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, 30; Zakaria Hanafi, 58 (BN); Nik Aziz Afiq Abdul, 25 daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang atas tiket Bebas.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar memperoleh 23,428 undi sekali gus, mengetepikan Datuk Johan Abdul Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.

PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan yang mana tarikh pengundian awal berlangsung pada 26 Februari ini.