X

Kindly register in order to view this article
!

'Tugas masih belum selesai'

Thomas Tuchel
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan para pemainnya selepas menewaskan Leicester City 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge pada awal pagi Rabu.

Menurut Tuchel, para pemainnya memenuhi apa yang diharapkannya dengan memberikan persembahan cemerlang sekali gus mengutip tiga mata untuk memastikan langkah ke saingan Liga Juara-Juara musim depan hampir menjadi milik The Blues.

Namun, dia turut mengingatkan pasukannya bahawa saingan masih belum berakhir dan hanya boleh berasa gembira sekiranya menang ke atas Aston Villa dalam perlawanan terakhir pada Ahad ini.

Buat masa ini, kedudukan untuk tempat ketiga dan keempat dalam saingan EPL sekali gus untuk slot Liga Juara-Juara masih boleh direbut oleh Chelsea, Leicester dan Liverpool.

"Hari ini apa yang saya harapkan daripada pemain, mereka telah berikan dengan baik. Mereka bermain dengan intensiti yang tinggi dan saya berpuas hati dengan persembahan mereka.

"Ia persembahan yang bertenaga tetapi tiada masa untuk meraikannya. Tugas masih belum selesai dan kami ada perlawanan menentang Villa dan perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City," katanya.

Dalam perlawanan itu, Antonio Rudiger membuka tirai jaringan buat Chelsea pada minit ke-48 sebelum digandakan oleh Jorginho menerusi sepakan penalti pada minit ke-68.

Leicester cuba bangkit menerusi Kelechi Iheanacho pada minit ke-76, namun Chelsea bertahan dengan cukup baik sekali gus membalas dendam kekalahan kepada lawan sama pada aksi final Piala FA minggu lalu.

Dalam masa sama, Tuchel turut menyifatkan kehadiran penyokong ke stadium memberikan tonik tambahan kepada pasukan untuk memperagakan aksi lebih baik di atas padang.

"Kami sangat gembira dapat bermain di hadapan penyokong, ia memberikan perbezaan besar pada hari ini. Kami bertahan dengan baik dan tidak memberikan banyak peluang kepada lawan.

"Kehadiran penyokong memberikan perbezaan besar kepada kami. Kepantasan, rasa ingin menang dan banyak lagi ada dalam perlawanan ini. Saya gembira pemain dapat menunjukkan aksi sebegini di hadapan penyokong," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!